KUALA LUMPUR, 21 Ogos : Ahli Parlimen Bera, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob meninggalkan perkarangan Istana Negara, kira -kira sejam selepas mengangkat sumpah jawatan sebagai Perdana Menteri Kesembilan hari ini.
Naib Presiden UMNO itu keluar menerusi pintu utama Istana Negara kira -kira pukul 3.26 petang selepas upacara berkenaan selesai di hadapan Yang di-Pertuan Agong, Al -Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al – Mustafa Billah Shah.
Ismail Sabri dilihat sempat melambaikan kanan sambil tersenyum kepada ratusan petugas media yang berkumpul di perkarangan pintu masuk Istana Negara sejak tengah hari tadi.
Sementara itu, Bernama melaporkan Ismail Sabri menjunjung kasih kepada Yang di-Pertuan Agong atas perkenan pelantikan sebagai Perdana Menteri.
Terdahulu, beliau tiba di Istana Negara kira – kira pukul 2 petang menerusi pintu dua bagi Istiadat Pengurniaan Surat Cara Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Jawatan dan Setia serta Sumpah Menyimpan Rahsia di Balai Singgahsana Kecil pada pukul 2.28 petang.
Turut berangkat pada istiadat berkenaan ialah Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.
Majlis turut disaksikan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd. Zuki Ali; Ketua Hakim Negara, Datuk Tengku Maimun Tuan Mat; Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun; Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun dan Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Rais Yatim.
Menariknya, majlis angkat sumpah ini turut menyaksikan kehadiran bekas dua Perdana Menteri iaitu Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Najib Tun Razak.
Di kalangan pemimpin politik pula antara yang kelihatan termasuklah Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS), Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.
Ismail Sabri ,61, yang juga bekas Timbalan Perdana Menteri ketika era pentadbiran Perikatan Nasional (PN) merupakan graduan undang -undang dari Universiti Malaya.
Beliau mula melibatkan diri dalam politik sejak 1987 selaku Ahli Jawatankuasa UMNO Bahagian Temerloh dan pernah memegang poftfolio beberapa kementerian termasuklah sebagai Menteri Belia dan Sukan (2008) serta Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna pada 2009.
Beliau juga pernah diberi tanggungjawab sebagai Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah ketika zaman pentadbiran Barisan Nasional (BN).
Menerusi kerjasama dengan Bersatu, Pas dan GPS serta beberapa parti lagi sehingga tertubuhnya PN, Ismail Sabri dilantik sebagai Menteri Kanan Pertahanan.
Pada majlis hari ini, Ismail Sabri turut ditemani oleh isterinya, Datin Seri Muhaini Zainal Abidin, anak- anak serta menantunya. -TVS
Ikuti TVS di Telegram, Facebook, Twitter, Instagram, TikTok dan YouTube.