KOTA SAMARAHAN, 4 Nov: Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) hari ini meraikan Majlis Konvokesyen Ke-28 yang bermula dengan sidang pertama di Dewan Tunku Abdul Rahman Putra (DeTAR Putra), UNIMAS, di sini.
UNIMAS dalam kenyataan memaklumkan, majlis ini disempurnakan Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar yang turut disertai isterinya, Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi.
Ini merupakan julung kali Tun Wan Junaidi yang juga Canselor UNIMAS merasmikan konvokesyen UNIMAS.
Pada sidang pertama ini, seramai 617 graduan menerima ijazah iaitu seramai 124 graduan Ijazah Sarjana dan Kedoktoran, 465 graduan Ijazah Sarjana dan 28 graduan Diploma Pascasiswazah.
Majlis konvokesyen kali ini turut menyaksikan penganugerahan gelaran Profesor Emeritus kepada Datuk Dr Mohamad Kadim Suaidi, sebagai penghargaan atas sumbangan besar beliau dalam bidang akademik.
Anugerah Pelajaran DiRaja (Pingat Jaya Cemerlang) dianugerahkan kepada Dayang Nurina Nazihah Awang Abdul Rahim dari Fakulti Sains Kognitif dan Pembangunan Manusia, yang mengikuti program Sarjana Muda Kaunseling dengan Kepujian.
Anugerah Pelajaran DiRaja (Pingat Jaya Cemerlang) turut dianugerahkan kepada Annie Lau Siew Ming dari Fakulti Ekonomi dan Perniagaan untuk program Sarjana Muda Perakaunan dengan Kepujian.
Anugerah Canselor dianugerahkan kepada Nur Ardini Noh, graduan program Ijazah Sarjana Muda Sains dengan Kepujian (Sains dan Pengurusan Sumber Akuatik) dari Fakulti Sains dan Teknologi Sumber.
Anugerah Pro Canselor dianugerahkan kepada Cathryn Anila, graduan Sarjana Muda Sains Sosial dalam Antropologi dan Sosiologi dengan Kepujian dari Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan.
Majlis Konvokesyen Ke-28 juga telah membuktikan bahawa kekurangan fizikal bukanlah menjadi penghalang bagi mencapai kejayaan dalam bidang akademik apabila 12 graduan mereka terdiri daripada golongan kurang upaya.