ABU DHABI, 4 Nov: Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg tiba di Abu Dhabi, Emiriah Arab Bersatu (UAE) bagi mengadakan lawatan kerja rasmi selama empat hari.
Ketibaan beliau di Lapangan Terbang Antarabangsa Zayed pada jam 1.47 petang waktu tempatan, disambut oleh Duta Besar Malaysia Ke UAE, Tengku Dato Sirajuzzaman Tengku Mohamed Ariffin.
Turut mengiringinya, Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, Menteri Utiliti dan Telekomunikasi, Dato Sri Julaihi Narawi, Setiausaha Kerajaan Negeri Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki.
Antara lain termasuk Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar, Datuk Len Talif Salleh dan Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar, Datuk Dr Hazland Abang Hipni serta delegasi lain.
Esoknya, beliau dijadual melawat bandar yang dikuasakan menerusi tenaga hijau, Bandaraya Masdar, Abu Dhabi, serta menyaksikan majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara Sarawak Energy Berhad (SEB), Abu Dhabi Future Energy Company (PSJC) dan Gentari.
Kerjasama strategik ini memberi tumpuan kepada penerokaan potensi untuk membangunkan projek solar fotovoltek terapung (PV) terbesar di dunia, dengan kapasiti sehingga satu gigawatt, di Empangan Murum.
Dalam rangka lawatan ini, Abang Johari dijadual menghadiri Pameran & Persidangan Petroleum Antarabangsa Abu Dhabi (ADIPEC) 2024 di Pusat ADNEC di sini pada Rabu.
Beliau juga akan menyertai perbincangan tumpuan, berkenaan Peranan Asia Sebagai Pasaran Hidrogen di persidangan tersebut.
Pada sebelah petang, Abang Johari dijadual menyaksikan pemeteraian perjanjian antara Sarawak Forestry Corporation (SFC) dan Mubadala Energy.
Perjanjian itu adalah untuk Mubadala Energy membantu mempromosikan pemuliharaan, perlindungan, penjanaan semula dan peningkatan biodiversiti.
Di samping itu, ia turut melibatkan pembangunan rangka kerja kedua-dua meneroka peluang di kawasan yang diuruskan oleh SFC yang sesuai untuk melaksanakan pemuliharaan bakau di Taman Negara Kuching Wetland.
Beliau juga dijadual mengadakan pertemuan dengan Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Mubadala Energy, Mansoor Mohamed Al Hamed pada jam 8 pagi waktu tempatan Khamis ini. -TVS