KUCHING, 4 Nov: Unit Transformasi dan Inovasi Sarawak (STIU) bakal mengetuai Delegasi Perkhidmatan Awam Sarawak ke Sri Lanka dan Jepun.
Pengarahnya, Superi Awang Said berkata, delegasi tersebut akan menyertai Perkhidmatan Awam Sarawak ke International Convention on Quality Control Circles 2024 (ICQCC) di Sri Lanka manakala lawatan penanda aras inovasi Perkhidmatan Awam Sarawak di Jepun.
“Penyertaan kita dalam ICQCC 2024 dan lawatan penanda aras ini bukan sahaja memberi peluang untuk bertukar pandangan dengan pakar antarabangsa tetapi juga memperkukuhkan usaha kita ke arah transformasi dan inovasi dalam Perkhidmatan Awam Sarawak.
“Saya berharap delegasi ini dapat membawa pulang ilmu serta inspirasi yang berharga untuk diterapkan dalam mempertingkatkan kualiti penyampaian perkhidmatan kepada rakyat,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, sebanyak empat Kumpulan Inovatif dan Kreatif (KIK) yang merupakan pemenang Anugerah Inovasi SCSICA 2023 akan mewakili Sarawak dalam ICQCC 2024, iaitu Kumpulan LANDS TAHAI Q, Jabatan Tanah dan Survei, Bahagian Limbang; Kumpulan EAGLE, Majlis Perbandaran Sibu, Kumpulan IPOK, Pejabat Residen Mukah dan Kumpulan TECHSKAP, Lembaga Kemajuan Bintulu.
ICQCC yang merupakan acara tahunan yang mengumpulkan pengamal inovasi dari seluruh dunia untuk bersaing dan berkongsi idea, pengalaman serta kepakaran dalam usaha meningkatkan produktiviti bakal disertai 35 orang pegawai bermula 11 hingga 14 November ini di Colombo, Sri Lanka.
Manakala lawatan penanda aras inovasi Perkhidmatan Awam Sarawak ke Jepun pula akan berlangsung dari 1 hingga 6 Disember 2024 disertai 19 pegawai sebagai penghargaan atas dedikasi dan usaha gigih kumpulan KIK semasa program ICQCC 2022 di Jakarta, Indonesia.
“Lawatan ini bertujuan memberi pendedahan kepada peserta mengenai kepentingan inovasi dan peningkatan kualiti penyampaian sektor awam melalui bengkel, simulasi serta latihan praktikal yang akan dikendalikan pakar dari Jepun,” ujarnya.
Dalam pada itu, penyerahan bendera Sarawak kepada ketua delegasi disempurnakan oleh Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki. – TVS