AMPANG, 4 Nov: Sebuah kereta Proton Saga terjatuh ke dalam lubang yang terbentuk akibat runtuhan tebing di Jalan Maju 1/4 Lembah Maju, Pandan Indah, di sini, pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner (ACP) Mohd Azam Ismail berkata, pihaknya menerima maklumat kejadian itu pada 4.35 pagi, sebelum anggota dikerah ke lokasi bersama pasukan bomba dan Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ).
“Siasatan awal polis mendapati lokasi kejadian merupakan parkir awam yang terletak bersebelahan longkang besar.
“Terdapat sebuah kereta Proton Saga yang diletakkan di situ terjatuh ke dalam runtuhan tebing,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah beliau, pihak berkuasa sedang menunggu analisa pakar cerun sebelum mengalihkan kenderaan berkenaan dan tindakan selanjutnya.
“Kejadian tidak melibatkan kemalangan jiwa,” katanya. – TVS.