LAHAD DATU, 3 Nov: Empat individu termasuk isteri mangsa ditahan bagi membantu siasatan kes bunuh yang dilaporkan berlaku di Batu 3, Jalan POIC, di sini, Khamis lalu.
Timbalan Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Superintenden Jimmy Panyau berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian berkenaan pada jam 12.34 tengah hari.
Menurutnya, laporan dibuat oleh seorang wanita yang mendakwa suaminya meninggal dunia dipercayai dibunuh.
“Susulan laporan itu, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lahad Datu terus dikerah ke lokasi kejadian.
“Pemeriksaan lanjut terhadap mangsa mendapati terdapat kesan tikaman di dagu sebelah kanan, tetakan di belakang kepala dan dahi kiri serta lebam di dada kanan, bahagian belakang dan pinggang,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Jimmy berkata, mayat mangsa sudah dihantar ke Jabatan Forensik, Hospital Lahad Datu untuk proses bedah siasat bagi mengenal pasti punca kematian.
“Setakat ini, polis sudah menahan tiga lelaki dan seorang wanita bagi membantu siasatan lanjut,” ujarnya.
Sehubungan itu, Jimmy menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kes berkenaan.
Katanya, pihak polis sedang menjalankan siasatan secara terperinci dari pelbagai sudut secara telus.
“Kes siasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,” jelasnya. -TVS