BUTTERWORTH, 3 Nov: Keluarga mangsa yang maut akibat terkena renjatan elektrik semasa mengecas telefon bimbit di dalam bas ekspres kelmarin, Mohamad Nur Asymawi Jasmadi, 18, reda atas kejadian menimpa mangsa.
Neneknya, Salmiah Humzah, 82, berkata, walaupun mereka sekeluarga sedih dan terkejut atas kejadian menimpa cucunya yang dijaga bersama tiga lagi adik beradik sejak kecil itu, namun menerima takdir dengan hati terbuka.
“Tok (Saya) reda. Allah ambil cucu Tok kerana sudah sampai masa dia untuk pi (pergi),” katanya dalam nada sugul kepada pemberita di rumahnya di Kampung Mesra, Bagan Lalang di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Salmiah berkata, dia dan keluarga tidak mengetahui Mohamad Nur Asymawi mahu pergi ke Kuala Lumpur pada hari kejadian kerana tidak dimaklumkan.
“Arwah (hanya) beritahu nak pergi dan apabila ditanya mahu pergi ke mana, dia kata nak pergi berjalan jauh.
“Saya ingat dia bergurau kerana Mohamad Nur Asymawi memang mesra dan suka mengusik,” katanya sambil menjelaskan kejadian itu diketahui selepas polis menelefon salah seorang sepupu mangsa.
Jenazah anak sulung daripada empat beradik itu selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Sungai Puyu di sini selepas solat Asar semalam.
Sementara itu, Salmah berkata, dia berharap agar kejadian sama tidak berulang terhadap syarikat-syarikat pengusaha bas ekspres lain.
Terdahulu, media melaporkan seorang remaja lelaki maut selepas terkena renjatan elektrik semasa mengecas telefon bimbit pada soket yang terdapat pada tempat duduk di dalam sebuah bas ekspres di terminal bas Penang Sentral di sini kelmarin.
Menurut Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner (ACP) Anuar Abdul Rahman, kejadian kira-kira pukul 6 petang itu disedari penumpang lain selepas melihat mangsa menjerit dan mulut berbuih semasa menaiki bas yang akan menuju ke KL Sentral, Kuala Lumpur.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook turut dilaporkan berkata, pihaknya mengarahkan satu pasukan khas terdiri daripada Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) dan Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) bagi menyiasat kes itu.
Pada masa sama, Anthony berkata, APAD turut diarahkan menggantung operasi bas terbabit serta merta untuk siasatan lanjut oleh JPJ. – TVS