BETONG, 2 Nov: Kementerian Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah (KKDW) komited untuk menyelesaikan semua projek di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) di Sarawak sebelum permulaan rancangan pembangunan nasional lima tahun yang berikutnya.
Menterinya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata, ini akan dilakukan sebelum Kerajaan Persekutuan mengenal pasti projek baharu untuk dimasukkan dalam Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13).
“Seperti yang saya sebutkan sebelum ini, keutamaan harus diberikan kepada jalan yang menghubungkan bandar ke Lebuhraya Pan Borneo, kerana kami (KKDW) komited untuk memperluas pembangunan ke kawasan luar bandar,” katanya kepada pemberita di Samu Ulu Paku, Spaoh, hari ini.
Beliau berkata, beberapa ‘missing link’ perlu ditangani dengan membina jalan untuk menghubungkan kawasan luar bandar.
Menurutnya, kerjasama antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Sarawak untuk mengekalkan pembangunan amat penting termasuk hubungan peribadi yang baik.
“Kerjasama ini bukan sahaja terhad kepada pertemuan rasmi, tetapi juga melibatkan hubungan peribadi, yang memainkan peranan penting dalam mencapai pembangunan wilayah dan kemajuan yang seimbang,” ujarnya.
Terdahulu, menerusi ucapannya semasa Majlis Pemimpin Bersama Rakyat, sebanyak RM93.7 Juta diperuntukan untuk jalan Missing Link di Betong. -TVS