MIRI, 2 Nov: Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg menyifatkan kepelbagaian budaya merupakan kekayaan Sarawak.
Beliau berkata, kelebihan itu perlu dipertahankan kerana selama ini ia menjadi tiang keharmonian di wilayah ini.
“Kita sangat beruntung kerana mempunyai anak Sarawak tanpa mengira latar belakang dan pegangan agama yang hidup di bawah satu rumah dengan aman dan makmur.
“Ini adalah sesuatu yang sangat berharga, walaupun berbeza latar belakang kaum dan agama, kita hidup seperti satu keluarga dengan tujuan sama iaitu membangunkan Sarawak,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Taste of Borneo Cultural Carnival (TOBCC) 3.0 di sini, hari ini.
Menurut Abang Johari, kepelbagaian tersebut menjadi salah satu faktor untuk Kerajaan Sarawak merancang pembangunan di seluruh kawasan yang melibatkan masyarakat pelbagai latar belakang.
“Ia termasuklah pendidikan tinggi percuma yang diberikan kepada anak Sarawak menjelang 2026 di universiti milik Kerajaan Sarawak.
“Tidak kira Cina kah, Melayu kah, Iban kah, Orang Ulu kah, Berawan kah, Kelabit kah, asal dapat masuk universiti maka akan dibiayai Kerajaan Sarawak,” ujarnya.
Tambahnya, usaha tersebut adalah untuk memastikan anak Sarawak menjadi individu bijak pandai bagi membangunkan wilayah ini.-TVS