BETONG, 2 Nov: Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi terus membuktikan komitmen tinggi dalam usaha membangunkan kawasan luar bandar di Sarawak, kata Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas.
Uggah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Saban berkata, menerusi lawatan Timbalan Perdana Menteri itu ke Sarawak, beliau menyerlahkan kepentingan usaha berterusan untuk memperjuangkan nasib rakyat terutamanya di kawasan yang memerlukan perhatian khas seperti Bukit Saban.
Menurutnya, dengan projek seperti menaik taraf rumah panjang Enteri Anak Lengkoi Samu Ulu Paku Spaoh Betong menunjukkan kesungguhan beliau meningkatkan kualiti hidup penduduk menerusi PROSPEK.
“Antara inisiatif yang sedang berjalan menerusi PROSPEK ialah ternakan ayam kampung yang kini membantu lebih 300 keluarga, tanaman halia dengan kapasiti pengeluaran hingga 10 kontena sebulan dan kraftangan Baju Dabong yang melibatkan lebih 265 pelatih tukang jahit dan empat pakar.
“Projek ini tidak hanya meningkatkan pendapatan tetapi mewujudkan peluang pekerjaan baharu bagi komuniti tempatan.” katanya. -TVS