KUCHING, 31 Okt: Jumlah kemasukan pelancong ke Sarawak setakat Oktober mencecah empat juta orang.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, melihat kepada peningkatan tahun ini, beliau menjangkakan kemasukan pelancong secara keseluruhan tahun 2024 mencapai lima juta orang.
Menurutnya, unjuran tersebut adalah berdasarkan trend peningkatan yang cukup menggalakkan dalam kedatangan pelancong ke Sarawak dalam tempoh Januari hingga Oktober tahun ini.
“Kita boleh lihat tahun ini kita mendapat bilangan pelawat yang paling ramai sebenarnya.
“Kerana menjelang Oktober bulan ini, kita sepatutnya mencapai empat juta dan menjelang 31 Disember, mungkin kita capai lima juta,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Makan Malam Festival What About Kuching (WAK) Edisi ke-6 di Dewan Mahligai di Kuching pada Khamis.
Karim menjelaskan, seramai 3.18 juta pelancong yang datang ke Sarawak dalam tempoh Januari hingga Oktober 2023.
“Jumlah tersebut merupakan peningkatan sebanyak 131.34 peratus berbanding tempoh sama 2022,” ujarnya. -TVS