KUCHING, 31 Okt: Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi (Utiliti) Datuk Dr. Abdul Rahman Junaidi menggesa Ketua Kaum dan Ketua Masyarakat (KMKK) membuat perancangan terbaik yang memberi manfaat kepada masyarakat.
Beliau berkata, setiap perancangan termasuk program bermanfaat untuk tahun depan sudah boleh dirangka menjelang penghujung tahun ini.
“Kita perlu melihat perancangan masa depan. Gunakan baki dua bulan untuk duduk bersama-sama JKKK (Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung) membuat perancangan terbaik untuk dilaksanakan sepanjang 2025,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penutupan Seminar Kepimpinan dan Pentadbiran KMKK DUN N4 Pantai Damai di sini, hari ini.
Dr. Abdul Rahman yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Damai menjelaskan, tahun 2025 perlu dijadikan sebagai masa untuk melonjakkan kepimpinan dan membangunkan masyarakat di kawasan masing-masing.
“Ia penting untuk memastikan masyarakat kita dapat hidup dalam keadaan lebih sejahtera termasuk proses urbanisasi yang melibatkan pembangunan tanpa meninggalkan ciri-ciri kampung asal.
“Kita menyediakan kehidupan lebih moden dari segi rumah dan infrastruktur kepada masyarakat,” ujarnya.
Sehubungan itu menurutnya, setiap lapisan masyarakat perlu diajak untuk terlibat sama dalam setiap rancangan kerajaan.
“Kita memang menggalakkan masyarakat terlibat dengan aktiviti ekonomi untuk menjana pendapatan.
“Namun pendekatan jangka panjang untuk mengubah kehidupan adalah menerusi pendidikan,” jelasnya.-TVS