SARIKEI: Sebanyak RM1.5 juta diperuntukkan oleh Kerajaan Sarawak sebagai pampasan kepada pemilik tanah yang terlibat untuk projek pembinaan jalan di kawasan Entabai, Pakan.
Menurut Menteri Muda Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar Datu Len Talif Salleh, projek tersebut melibatkan kawasan seluas 47.6 hektar dari Rumah Kedit hingga ke Sungai Buloh, seterusnya ke Sekolah Kebangsaan Ulu Entabai Kemalih.
“Ini melibatkan lapan kilometer jalan raya tapi sebelum tu memang keseluruhan ialah 10 kilometer, pakan entabai pakan dan entabai merupakan satu daerah yang pedalaman yang memerlukan infrastruktur seperti ini jadi sebab itulah Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg memberi penekanan kepada pembangunan infrastruktur jalan raya jambatan telekomunikasi dan sebagainya,” katanya.
Katanya lagi, penyerahan cek pampasan tanah itu juga membuktikan rakyat menyokong dan menyedari hasrat murni kerajaan demi kebaikan bersama di masa hadapan.
“Sebahagian daripada kawasan ini sudah di sudah diproses pembangunan jalan yang sudah berjalan terutama sekali dari jalan raya pembesaran jalan dari pan borneo ke pakan ini seperti yang telah kita lihat tadi sudah berjalan dan juga dari Pakan ke Entabai yang sudah berjalan dan juga menghubungi penempatan penempatan rumah panjang di kawasan ini,” ujarnya.
Untuk rekod, seramai 73 orang penerima telah menerima cek pampasan tersebut di Pejabat Daerah Pakan pada Jumaat.
Jumlah keseluruhan cek tersebut adalah RM 1,551,552.74.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri Meluan, Rolland Duat Jubin juga optimis projek pembinaan jalan itu bakal memberi manfaat besar kepada penduduk untuk jangka masa yang panjang.
Projek itu mempunyai peranan yang penting untuk merapatkan jurang antara penduduk luar bandar dan bandar.
“Saya berharap supaya rakyat menggunakan jalan ini dengan sebaik mungkin, serta kehidupan mereka akan bertambah baik dari sebelumnya kerana sistem pengangkutan sekarang lebih mudah dan senang.”
“Produk mereka dapat bawa keluar dengan begitu senang sekali dan begitu juga masuk keluar rakyat di kawasan saya pun begitu senang dibandingkan dengan berapa tahun tahun yang lalu,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menzahirkan penghargaan di atas kerjasama yang diberikan oleh penduduk sehingga membolehkan projek itu dilaksanakan.
“Walaupun bayaran sedikit lewat, tetapi bukan halangan untuk kontraktor untuk menyiapkan jalan tersebut.
“Oleh itu, jalan ini dijangka siap hujung tahun ini iaitu bulan Disember 2021. Kalau kita lihat dari tahun 2019, jalan ini sudah mula dibina dengan kerjasama rakyat, jalan ini dapat disiapkan pada tahun ini (2021) dan barulah mereka mendapat pampasan,” jelasnya.