KUCHING, 31 October: Empat puluh syarikat yang akan dilantik sebagai ejen yang mengendalikan program ‘Sarawak-Malaysia My Second Home’ (SMM2H) di Sarawak perlu mengemukakan pemohonan untuk lesen baharu daripada kerajaan Sarawak.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, permohonan itu bagi membolehkan syarikat-syarikat tersebut terlibat sama dalam program itu dengan beroperasi sebagai ejen S-MM2H.
“Ketetapan itu dilakukan susulan penambahbaikan terhadap ketetapan dalam program S-MM2H serta pelesenan baharu yang diluluskan Kabinet Sarawak baru baru ini,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Penambahbaikan Program S-MM2H dan Pelesenan Baharu di sini, hari ini.
Terdahulu Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) telah menyerahkan kuasa-kuasa untuk mengendalikan program tersebut kepada Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak (MTCP) menerusi satu surat yang dihantar pada 2 Julai lalu.
Penyerahan menjadi pencapaian penting bagi MTCP dalam mengembangkan fungsinya dalam S-MM2H yang bukan sahaja melibatkan urusan pemprosesan permohonan tetapi juga aspek pelesenan ejen program tersebut.
Satu perbincangan meja bulat bersama pemain industri diadakan pada 5 September lalu dan cadangan hasil daripada perbincangan itu telah mendapat kelulusan untuk pelaksanaaan daripada Kabinet Sarawak pada 24 Oktober lalu. – TVS