KUALA LUMPUR, 31 Okt: Presiden UMNO yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berharap agar keadilan memihak kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berhubung kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Timbalan Perdana Menteri itu turut menuntut keputusan Mahkamah Tinggi agar memberi peluang kepada Najib untuk membela diri dan membuktikan beliau tidak bersalah.
“Saya telah mengeluarkan satu kenyataan dan beliau diberikan peluang untuk membersihkan dirinya selepas terdapat prima facie.
“Kita juga harap agar keadilan memihak kepada beliau,” kata beliau.
Ahmad Zahid berkata demikian ketika ditemui pemberita usai Majlis Rumah Terbuka Deepavali MADANI 2024 di sini, hari ini.
Pada Rabu, Najib diperintah membela diri oleh Mahkamah Tinggi atas 21 tuduhan penyelewengan berkaitan dana 1MDB berjumlah RM2.3 bilion.
Dalam satu hantaran di media sosial semalam, Ahmad Zahid menyatakan bahawa sokongannya kepada Najib tidak mempunyai sebarang niat untuk mempertikaikan keputusan tersebut. -TVS