KUCHING, 30 Okt: Kerajaan Persekutuan mengadakan sesi libat urus dengan kerajaan Sarawak mengenai undang-undang pemerangkapan, penggunaan, dan penyimpanan karbon (CCUS).
Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkata sesi ini diadakan bagi memuktamadkan rang undang-undang CCUS sebelum dibentangkan di Parlimen menjelang akhir tahun ini.
“Kerajaan Sarawak mempunyai peraturan-peraturan (kawal selia CCUS) di bawah undang-undang negeri. Jadi sesi libat urus hari ini tertumpu kepada bagaimana kita dapat mengharmonikan (undang-undang) sebab selepas ini kita akan ada undang-undang di peringkat persekutuan.
“Ini bagi memastikan bahawa Sarawak dan kerajaan pusat secara amnya dapat melaksanakan CCUS secepat mungkin mengikut perancangan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas libat urus bersama kerajaan negeri Sarawak mengenai pelaksanaan inisiatif CCUS di Wisma Bapa Malaysia di sini pada Rabu.
Katanya, kerajaan persekutuan sebelum ini turut mengadakan sesi libat urus bersama dengan tiga negeri lain iaitu Pahang, Terengganu dan Sabah.
Empat negeri itu telah dikenal pasti berpotensi menjadi peneraju dalam industri berkenaan di negara ini.
Kata Rafizi, Sarawak berada dalam kedudukan terbaik untuk menjadi pemain utama dalam industri CCUS, bukan hanya di Malaysia tetapi juga di rantau ini.
“Saya berasa gembira kerana semua yang terlibat berada dalam landasan yang tepat sebab CCUS ini satu aktiviti berteknologi tinggi.
“Kalau kita berjaya dalam tempoh lima tahun akan datang, Malaysia dapat mewujudkan peluang pekerjaan bergaji tinggi di samping menjadikan negara ini peneraju dalam peralihan tenaga,” ujarnya.
Kesemua negeri tersebut jelasnya, memiliki telaga minyak yang tidak digunakan dan fasiliti terminal sedia ada untuk menjalankan aktiviti CCUS.
Malah tegas Rafizi, Kerajaan Persekutuan dan negeri yang terlibat berperanan sebagai pemudah cara antara pengendali industri CCUS seperti Petronas dan pelanggan, termasuk pelabur asing. – TVS