LUBOK ANTU, 29 Okt: Tentera Darat Malaysia (TDM) menggagalkan aktiviti penyeludupan barang di Sektor Pos GABMA Lubok Antu dalam Op Awas/Keris Parang di kawasan ladang sawit Ensawang berdekatan laluan haram 100 meter dari sempadan Malaysia-Indonesia semalam.
Sel Perhubungan Raya Markas 1 Divisyen berkata, anggota TDM dan TNI-AD yang sedang melaksanakan rondaan di kawasan GABMA Lubok Antu telah melihat sekumpulan orang awam yang mencurigakan sedang menjaga barang-barang di tepi laluan sawit pada jam 3.30 petang.
“Kesemua orang awam tersebut telah melarikan diri apabila menyedari kehadiran anggota tentera dan meninggalkan semua barang-barang tersebut.
“Barang yang ditinggalkan adalah 118 karton minuman tin bir jenama Camel dan 20 buah tong gas PETROS,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya, hasil pemeriksaan juga, mendapati tiada barang terlarang dan berbahaya dijumpai di sekitar kawasan tersebut.
“Kesemua hasil rampasan dianggarkan berjumlah RM10,080.Laporan polis telah dibuat di Balai Polis Lubok Antu untuk tindakan selanjutnya.-TVS