SIBU, 29 Okt: Polis menahan dua individu tempatan seorang lelaki berusia 44 tahun dan seorang remaja perempuan berusia 14 tahun yang disyaki terlibat dalam kes pembuangan bayi lelaki di Jalan Tong Sang, di sini, pagi tadi.
Bayi tersebut ditemui dalam keadaan hidup di dalam tong sampah di kawasan lot kedai oleh seorang saksi yang segera melaporkan penemuan itu kepada pihak polis melalui talian kecemasan 999 sekitar jam 8.30 pagi.
Ketua Polis Daerah Sibu, Asisten Komisioner Zulkipli Suhaili berkata, bayi yang ditemukan bersama uri dan tali pusatnya itu disyaki baharu dilahirkan dalam tempoh kurang daripada 24 jam.
“Bayi tersebut kini dirawat di Hospital Sibu dan dilaporkan berada dalam keadaan stabil dengan berat 1.48 kilogram.
“Kedua-dua suspek ditahan untuk membantu siasatan dan akan dipohon reman pada 30 Oktober 2024 bagi siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya, tindakan pantas pihak polis menjalankan siasatan berhubung kes pembuangan bayi tersebut dipercayai mampu menyelesaikan kes ini dalam tempoh 24 jam.
Katanya, kes ini sedang disiasat di bawah Seksyen 317 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran dengan niat membuang bayi, yang boleh membawa hukuman penjara sehingga dua tahun, denda, atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Polis turut meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian ini untuk tampil memberikan maklumat dengan menghubungi talian 084-364373 atau Pegawai Penyiasat, Inspektor Ahmad Zam Zam bin Ismail, di talian 014-9067909.-TVS