Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Penganalisis politik, Profesor Datu Dr Neilson Ilan Mersat.

Tuntutan satu pertiga kerusi Parlimen selari MA63

ByShafik Ahmad

KUCHING, 29 Okt: Kuota satu pertiga perwakilan Sarawak dan Sabah dalam Parlimen bukanlah agenda politik tetapi tuntutan yang selari dengan semangat Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Ia bagi memastikan suara dari dua wilayah yang mewakili 35 peratus dalam Dewan Rakyat dapat didengari dengan lantang oleh kerajaan Persekutuan sebagai pembuat dasar dan keputusan di peringkat nasional.

Mengulas mengenai perkara itu, penganalisis politik, Profesor Datu Dr Neilson Ilan Mersat berkata peranan Sabah dan Sarawak dalam Malaysia amat penting, namun ia perlu diterjemahkan dalam bentuk komposisi yang seimbang.

Dengan pengembalian kuota tersebut, ia diharap dapat menarik lebih perhatian khususnya dalam perihal berkaitan pembangunan dan kesejahteraan penduduk.

Kata Dr Neilson, ini juga dilihat sebagai langkah untuk memperkukuh hubungan antara kerajaan pusat dan negeri, serta memastikan keseimbangan dalam representasi politik di negara ini.

“Tidak dinafikan, mungkin kita kurang lantang sebelum dalam membangkitkan perkara ini, namun peredaran zaman mengubah penerimaan, begitu juga dengan kepesatan teknologi maklumat yang boleh diakses termasuk dokumentasi lama.

“Ramai sudah sedar tentang perjanjian asal semasa pembentukan Malaysia, malah ada yang bertanya kenapa ia (perjanjian yang termaktub) tidak dikemukakan atau dituntut secara keseluruhan,” katanya.

Untuk rekod ketika blok Borneo mewakili 56 kerusi Dewan Rakyat dengan 31 kerusi dimiliki Sarawak, dan 25 kerusi lagi diwakili Sabah.

Secara matematiknya, komposisi itu hanyalah 25 peratus dari jumlah keseluruhan 222 kerusi berbanding 74 kerusi asal berdasarkan peruntukan satu pertiga kerusi yang ditetapkan dalam MA63.

 

BUKAN BERMOTIF POLITIK

 

Dr Neilson menegaskan bahawa tuntutan Sarawak untuk mendapatkan kembali kuota 35 peratus kerusi Parlimen tidak bermotifkan kuasa politik, tetapi lebih kepada keperluan untuk memastikan suara Sabah dan Sarawak didengari dan dihormati.

“Ia merupakan sebahagian daripada MA63, tidak lebih, tidak kurang kerana tuntutan ini bukan bertujuan memisahkan Sarawak dari Malaysia, kita cuma ingin menuntut apa yang dijanjikan.

“Apabila kuota satu pertiga itu dikembalikan, mereka tidak boleh lagi mengetepikan suara kita begitu sahaja. Mereka perlu memberi perhatian kepada kita,” tegasnya.

Malah jelasnya, ia bukan hanya berkaitan dengan hak istimewa untuk Sabah dan Sarawak, tetapi berfungsi sebagai satu bentuk perlindungan untuk memastikan kepentingan kedua-dua wilayah itu.

Langkah itu penting untuk memelihara hak dan kedudukan Sarawak dan Sabah dalam konteks yang lebih luas.

Melangkah ke hadapan, beliau menegaskan tiada istilah pemberian kuasa mutlak atau dominan sekiranya tuntutan itu berjaya dilunaskan kepada Sabah dan Sarawak.

Ini kerana pengembalian semula satu pertiga kerusi itu hanya melibatkan pertambahan 20 kerusi, yang tidak menjadikan dua wilayah itu lebih berkuasa berbanding perwakilan dari Semenanjung.

“Apa yang penting, usaha mendapatkan kuota 35 peratus itu akan memberi jaminan kepada Sabah dan Sarawak, khususnya apabila pindaan akta atau perlembagaan dilaksanan tanpa mengambil kira suara Borneo, atas alasan memiliki majoriti dalam dewan,” jelasnya.

 

ANTARA HAK DAN KETEGANGAN HUBUNGAN

 

Langkah mendapatkan semula kuota itu, secara tidak langsung tetapi jelas bakal menimbulkan rasa kurang selesa dari pihak-pihak tertentu.

Perkara itu kata Dr Neilson, sememangnya berlaku, ibarat dilema antara hak dan ketegangan hubungan tiga blok entiti dalam Malaysia.

Namun, beliau menegaskan bahawa adalah penting untuk semua pihak memahami asas MA63 serta mendalami dan meneliti sejarah dan konteks perjanjian ini membantu menjelaskan kenapa tuntutan pengembalian kuota kerusi Parlimen begitu signifikan.

MA63 bukan sahaja merupakan asas kepada pembentukan Malaysia, tetapi juga menjamin hak dan kepentingan Sabah dan Sarawak dalam kerangka negara.

Dengan pemahaman yang jelas tentang MA63, semua pihak dapat menghargai pentingnya representasi yang adil dan seimbang bagi kedua-dua wilayah, serta implikasi yang lebih besar untuk kestabilan dan keharmonian negara.

“Mungkin ini akan menimbulkan sedikit ketegangan, khasnya apabila melibatkan jumlah kerusi yang besar, namun tuntutan ini perlu difahami dalam konteks MA63 yang bukan dibuat sesuka hati atau tanpa asas.

“Adalah penting bagi semua pihak untuk memahami asas perjanjian yang dirangka demi kepentingan Sabah, Sarawak dan Singapura ketika perjanjian itu dibentukkerana terdapat bahagian dalam Perlembagaan yang memerlukan sokongan majoriti dua pertiga, terutamanya yang melibatkan kepentingan negeri.

“Dengan adanya kuasa ini, Sarawak dan Sabah boleh mempengaruhi keputusan Persekutuan dalam perkara yang melibatkan kepentingan negeri,” jelasnya.

 

DIKEMBALIKAN ATAU SEBALIKNYA, APA PENDIRIAN PUSAT?

 

Dalam usaha semua pihak berdebat mengenai isu ini, tuntutan Sabah dan Sarawak perlu dikembalikan, namun sejauhmana hasrat itu mampu dicapai, bagaimana percaturan kerajaan Persekutuan.

Persoalan itu ditujukan kepada Dr Neilson, yang secara peribadinya menyatakan keraguan sama ada Kerajaan Persekutuan akan memenuhi janji untuk mengembalikan kuota kerusi Parlimen atau sebaliknya.

Menguatkan responsnya, beliau mendedahkan kerajaan berpegang pada prinsip ‘satu undi, satu nilai’ yang secara tidak langsung akan memberi kelebihan kepada Semenanjung dari segi nisbah pengundi.

“Kita melihat ia dalam konteks MA63 sebagai pelindung agar hak Sabah dan Sarawak tidak diputuskan sewenang-wenangnya oleh kerajaan Persekutuan, sebaliknya mereka perlu bersetuju dan menghormati perjanjian tersebut,” katanya.

Meskipun tidak semua aspek dalam MA63 dimasukkan dalam Perlembagaan Persekutuan, namun kata Dr Neilson ia perlu dinilai dari sudut semangat perjanjian yang telah lama wujud.

Menurutnya lagi, tuntutan itu disifatkan wajar berdasarkan dan sudah tiba masanya ia dikembalikan semula atas sebab kebersamaan menubuh Malaysia.

“Sabah dan Sarawak bersama Persekutuan Tanah Melayu (PTM) membentuk Malaysia, ada syarat yang ditetapkan termasuk kuota dalam Parlimen, maka secara teknikalnya, tidak salah untuk kita (Borneo) menuntutnya,” kata Dr Neilson.

 

KONSISTEN DALAM PERJUANGAN TUNTUT HAK

 

Walaupun perkara yang berkaitan dengan lunas perundangan, bukanlah sesuatu yang mudah untuk dilaksanakan dalam tempoh yang singkat, namun beliau tetap memuji komitmen dan konsistensi pemimpin di kedua-dua wilayah itu dalam mengemukakan tuntutan.

Tidak kira siapa pun yang memegang tampuk pemerintahan kerajaan di peringkat pusat, Dr Neilson, tuntutan itu tidak harus dipandang remeh.

Dalam pada itu, beliau memuji usaha pemimpin Sarawak dalam memperjuangkan tuntutan kuota kerusi Parlimen dan optimis ia akan dibincang di peringkat Kerajaan Persekutuan, walaupun keputusan belum diperoleh.

Sejak kebelakangan ini, dapat dilihat dari segi perkembangan positif, di mana Kerajaan Persekutuan mulai memenuhi beberapa tuntutan dalam MA63.

Sejak pembentukan Malaysia pada tahun 1963, Tanah Melayu mempunyai 104 kerusi Parlimen, manakala Sarawak, Sabah, dan Singapura memiliki 55 kerusi (34.6peratus).

Selepas Singapura keluar pada 1965, kerusi tersebut tidak diagihkan semula, denganSemenanjung memiliki 166 kerusi (75 peratus), sementara Sarawak dan Sabah hanya mempunyai 56 kerusi (25 peratus), berbanding 74 kerusi yang sepatutnya berdasarkan janji MA63.

Tuntutan Sarawak untuk satu pertiga kerusi adalah berdasarkan perlindungan dan jaminan yang dinyatakan dalam Laporan Suruhanjaya Cobbold dan Laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan (IGC). -TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse programmes on channel 122 MYTV, Unifi TV and Astro. Stream TVS live now on the MYTV Mana-Mana, Unifi TV and ASTRO GO apps.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan