SANDAKAN, 29 Okt: Ops Gegar mengejutkan sebuah premis hiburan di Sandakan apabila Jabatan Imigresen Malaysia Negeri Sabah (JIM) melancarkan serbuan mengejut pada awal pagi kelmarin, menyasarkan warga asing yang dipercayai bekerja secara haram.
Operasi yang bermula sekitar jam 12 tengah malam dan berakhir pada jam 12.18 pagi ini melibatkan kekuatan seramai 13 pegawai daripada Bahagian Penguatkuasa Ibu Pejabat Imigresen Kota Kinabalu dan Pejabat Imigresen Sandakan dalam usaha membanteras aktiviti yang melanggar undang-undang imigresen.
Menurut Pengarah Imigresen Negeri Sabah, Datuk Sh Sitti Saleha Habib Yussof, operasi ini dilancarkan susulan aduan awam mengenai kehadiran warga asing yang dipercayai tiada dokumen pengenalan diri dan didakwa menyalahgunakan Pas Lawatan Sosial untuk bekerja di premis hiburan tersebut.
Semasa serbuan dijalankan, beberapa warga asing disyaki sedang bekerja dan dilihat menunggu pelanggan di dalam bilik hiburan, menimbulkan kecurigaan terhadap aktiviti yang dijalankan di premis berkenaan.
Dalam operasi ini, seramai 35 individu diperiksa dan 12 warga asing telah ditahan atas kesalahan imigresen. Antara tahanan adalah tiga wanita warganegara Filipina dan sembilan warga Vietnam, termasuk seorang lelaki dan lapan wanita, yang berusia antara 15 hingga 38 tahun. Kesemua tahanan kini ditempatkan di Depot Imigresen Sandakan untuk siasatan dan tindakan lanjut.
Selain penahanan warga asing, seorang lelaki tempatan berusia 53 tahun turut ditahan atas dakwaan melindungi pendatang tanpa izin, melanggar Seksyen 55E dan Seksyen 56(1)(d) Akta Imigresen 1959/63.
“Tindakan ini menegaskan amaran JIM kepada masyarakat agar tidak melindungi Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) kerana tindakan undang-undang akan diambil ke atas pihak yang melanggar peraturan.
“Pihak JIM juga ingin menegaskan bahawa majikan yang menggaji atau melindungi warga asing tanpa dokumen yang sah akan berhadapan dengan tindakan undang-undang,” kata Sitti.
Beliau juga menyeru orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan dengan PATI atau aktiviti yang mencurigakan agar tampil membantu JIM dalam usaha membanteras kegiatan melanggar undang-undang imigresen ini. -TVS