KUALA LUMPUR, 29 Okt: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) komited mempergiatkan usaha untuk menambah bilangan pekerja sosial di Malaysia.
Menterinya, Datuk Seri Nancy Shukri berkata profesion ini akan menjadi kerjaya profesional pada masa hadapan kerana perkhidmatan mereka diperlukan orang ramai.
“Sehingga 28 Februari 2024, jumlah perjawatan tetap kakitangan Skim Perkhidmatan Sosial yang telah diisi di Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) adalah seramai 3,297.
“Dalam hal ini, JKM telah bekerjasama dengan Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) untuk menetapkan syarat kelayakan minima bagi kemasukan kakitangan lantikan baharu,” katanya bagi menjawab soalan daripada Ahli Parlimen Sungaj Petani, Mohammed Taufiq Johari.
Tambah Nancy, berbeza dengan sebelumnya, hanya calon yang mempunyai kelayakan akademik minimum diploma atau ijazah dalam bidang yang diiktiraf sebagai bidang kerja sosial akan disenarai pendek bagi mengisi jawatan Gred S29 atau S41 di JKM.
Justeru, KPWKM telah melaksanakan pelbagai inisiatif bagi meningkatkan tahap profesionalisme dan kompetensi dalam bidang kerja sosial.
Antaranya, Kursus Asas, Kursus Pertengahan, Kursus Lanjutan, Kursus Sijil Profesional Asas Kerja Sosial (SPAKS) dan Program Penyeliaan Kerja Sosial.
“Bergerak ke hadapan, JKM kini sedang menambahbaik Training Needs Analysis (TNA) yang mengandungi Training Road Map (TRM) Kerja Sosial dan Kerja Kebajikan.
“Dokumen ini akan menjadi panduan kepada pegawai dan kakitangan JKM dalam memenuhi keperluan latihan dan kompetensi selaras dengan Dasar Pembangunan Sumber Manusia Perkhidmatan Awam,” katanya. -TVS