KUCHING, 29 Okt: Walaupun diiktiraf sebagai wilayah berpendapatan tinggi, masih ada kawasan di luar bandar Sarawak terutamanya yang sentiasa menjadi keutamaan untuk terus dibantu berbanding cadangan Tun Dr Mahathir Mohamad untuk membantu negeri-negeri lain.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tellian Royston Valentine yang berkata demikian menambah, Sarawak mempunyai cabaran unik yang tersendiri dalam melalui proses kemajuan disebabkan keluasan geografinya yang hampir menyamai keluasan Semenanjung Malaysia apatah lagi dengan hak-hak Sarawak dalam MA63 yang belum lagi dapat dituntut sepenuhnya.
“Tun Dr Mahathir tidak konsisten dalam menyatakan pendekatannya terhadap Sarawak sejak dari dulu, pengabaian sejarah dan penafian hak-hak Sarawak di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dalam kepimpinan beliau sebagai Perdana Menteri sebelum ini telah menyebabkan Sarawak jauh ketinggalan dari negeri-negeri di Semenanjung dari sudut kemajuan,” katanya menerusi kenyataan kepada TVS, hari ini.
Beliau mengulas kenyataan bekas perdana menteri itu yang menyatakan Sarawak yang kini mencapai status berpendapatan tinggi, seharusnya membantu negeri yang mundur untuk membangun menerusi wawancara bersama portal berita Free Malaysia Today.
Royston berkata lagi, ketika era kepimpinan Tun Dr Mahathir ketika beliau dua kali memegang jawatan Perdana Menteri, ia langsung tidak memberikan sebarang kelebihan kepada Sarawak dalam mendapatkan kembali hak-hak seperti yang termaktub di dalam perjanjian MA63.
“Kenyataan Tun M yang Sarawak telah mendapat banyak ‘bantuan kewangan’ daripada Kerajaan Persekutuan adalah tidak benar.
“Sarawak sebagai penyumbang hasil minyak dan gas tidak pernah diberi pembahagian yang adil dan wajar,” katanya.
Mengulas isu sama, ADUN Lingga Dayang Noorazah Awang Sohor berkata jika Sarawak bersetuju dengan saranan itu sekali pun, ia perlu dilakukan dalam bentuk perjanjian berasaskan perniagaan atau pelaburan.
Menurutnya, pendapatan setiap negeri adalah hak negeri itu sendiri untuk menentukan bagaimana ia harus diuruskan.
“Tun M mengabai realiti bahawa kepimpinan GPS yang diketuai Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berjaya mengurus kewangan Sarawak dengan efisien dan formula pembangunan yang realistik,” katanya.
Jelasnya, kerajaan Sarawak telah berusaha gigih untuk menuntut hak-hak MA63 dan Abang Johari dan wakil-wakil rakyat GPS tidak pernah mengalah dalam usaha ini.