KOTA KINABALU, 28 Okt: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Sabah berjaya merampas minuman keras dan rokok seludup bernilai lebih RM3 juta dalam tiga serbuan berasingan di sekitar Kota Kinabalu dan Penampang dalam operasi selama lima hari yang berakhir 1 Oktober lalu.
Penolong Ketua Pengarah Kastam Zon Sabah, Siti Mang berkata, serbuan pertama dijalankan di sebuah stor tidak bernombor di Jalan N.C Mogunting, Kampung Hubah, Penampang.
Katanya, dalam serbuan berkenaan, JKDM berjaya merampas sebanyak 214,000 kotak rokok disyaki tidak berkastam.
“Hasil siasatan awal, semua rokok pelbagai jenama berkenaan dianggarkan bernilai RM428,000 dan melibatkan cukai sebanyak RM2.86 juta.
“Siasatan awal mendapati stor yang tidak berpenghuni itu hanya dijadikan sebagai tempat penyimpanan bagi mengaburi mata pihak berkuasa,” katanya pada sidang media di Menara Kastam Sabah di sini, hari ini.
Menurutnya, operasi diteruskan lagi dengan serbuan di tiga lokasi berasingan di sekitar kawasan bandaraya Kota Kinabalu.
Katanya, serbuan bermula jam 8 malam itu berjaya merampas 34 karton minuman keras yang dianggarkan bernilai keseluruhan kira-kira RM5,200 termasuk cukai.
“Dalam serbuan ini, pasukan operasi berjaya menahan seorang lelaki dan dua wanita tempatan berusia lingkungan 41 hingga 61 tahun,” katanya.
Sementara itu, Siti berkata, serbuan kes ketiga dilakukan hasil maklumat risikan, Bahagian Penguatkuasaan Kota Kinabalu dengan bantuan Pasukan Cobra Zon Sabah.
Katanya, hasil serbuan, pasukan operasi berjaya menahan sebuah lori yang membawa sejumlah minuman keras jenis bir yang disyaki tak berkastam.
“Pemeriksaan lanjut di sekitar lokasi serbuan membawa kepada penahanan dua lagi lori berisi muatan minuman keras disyaki tidak berkastam.
“Semua pemandu dan kelindan terus ditahan bagi membantu siasatan lanjut manakala rampasan dibawa ke Pejabat Wisma Penguatkuasaan Sepanggar, Kota Kinabalu untuk tindakan selanjutnya,” katanya.
Siti berkata, semua minuman keras yang dirampas adalah sebanyak 1,830 karton yang dianggarkan bernilai RM284,304.
Katanya, siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 135 Akta Kastam 1967 dan jika disabit kesalahan boleh didenda tidak kurang 10 kali ganda nilai barang atau RM100,000 dan tidak lebih daripada 20 kali ganda nilai barang atau RM500,000.
“Pesalah juga boleh dipenjara bagi tempoh tidak kurang daripada enam bulan dan tidak lebih daripada lima tahun atau kedua-duanya,” katanya.
Sehubungan itu, Siti berkata, aktiviti penyeludupan bukan saja merugikan negara dari segi kehilangan hasil, malah turut mendatangkan ancaman kepada keselamatan negara dan kesejahteraan rakyat.. -TVS