Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Lukanisman Awang Sauni menyertai Walkabout Premis Bersih, Bebas Asap (BeBAs) dan Operasi Bersepadu Penguatkuasaan Akta 852 Peringkat Negeri Pulau Pinang di Padang Kota Lama dan Jalan Penang. Foto TVS

Cukup masa untuk penguatkuasaan pendidikan larangan pamer produk tembakau

GEORGE TOWN, 28 Okt: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mempunyai masa yang mencukupi bagi melaksanakan penguatkuasaan pendidikan larangan mempamerkan produk tembakau di bawah Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852) sebelum April tahun depan.

Timbalan Menterinya, Datuk Lukanisman Awang Sauni berkata, pihaknya ketika ini sedang giat melaksanakan penguatkuasaan berbentuk mendidik pemilik premis dan masyarakat dalam tempoh antara enam hingga 12 bulan ini selepas akta itu dikuatkuasakan pada 1 Oktober lalu.

Menurutnya, dalam tempoh penguatkuasaan pendidikan, pihaknya tidak akan mengeluarkan kompaun di samping mengadakan sesi libat urus yang lebih komprehensif.

“Ia untuk memberi penjelasan menjelang April 2025, apabila pengusaha-pengusaha premis (ketika itu) telah bersedia untuk mematuhi tatacara pameran produk rokok yang sekaligus penguatkuasaannya tidak perlu ditangguhkan.

“Memang ada isu berkaitan kos dan sebagainya, namun kita memberikan cadangan (kepada peniaga) setidak-tidaknya untuk menutup (pameran rokok) dan mematuhi garis panduan,” katanya kepada pemberita semalam.

Beliau ditemui selepas menyertai Walkabout Premis Bersih, Bebas Asap (BeBAs) dan Operasi Bersepadu Penguatkuasaan Akta 852 Peringkat Negeri Pulau Pinang di Padang Kota Lama dan Jalan Penang di sini.

Sementara itu, Lukanisman berkata, KKM melakukan lawatan ke atas 45,666 premis di samping 57,856 penguatkuasaan pendidikan di sepuluh buah negeri setakat ini dalam tempoh antara 1 hingga 26 Oktober lalu.

Menurutnya, sepanjang operasi itu, sebanyak 827 notis di kawasan larangan merokok dikeluarkan di samping 16 notis kepada orang belum dewasa dan enam kepada pemilik premis.

Terdahulu, Akta 852 yang diwartakan pada 2 Februari lalu telah dikuatkuasakan serentak bersama Peraturan-Peraturan dan Perintah di bawahnya bermula 1 Oktober.

Aspek yang dikuatkuasakan serta merta adalah melibatkan penjualan produk merokok yang berbentuk permainan serta menarik perhatian golongan kanak-kanak dan remaja.

Selain itu, peruntukan yang melibatkan pengiklanan, promosi dan tajaan semua jenis produk merokok serta tempat larangan penjualan produk merokok seperti institusi pendidikan, pasar jualan, dalam talian dan mesin layan diri. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse programmes on channel 122 MYTV, Unifi TV and Astro. Stream TVS live now on the MYTV Mana-Mana, Unifi TV and ASTRO GO apps.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan