TAWAU, 25 Okt: Seorang lelaki warganegara Filipina disyaki pengedar dadah ditahan polis bersama dadah jenis syabu bernilai RM30,930 di Kampung Wakuba, Jalan Apas, di sini, pada Khamis.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, suspek ditahan sepasukan polis Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau dalam operasi Ops Tapis di sini.
Menurutnya, ketika dihampiri pasukan operasi, suspek cuba melarikan diri sehingga berlaku pergelutan sebelum berjaya diberkas.
“Hasil pemeriksaan berjaya menemui 10 paket lutsinar berlainan saiz yang disyaki dadah jenis syabu.
“Berat kasar keseluruhan dadah yang dirampas ialah seberat 512.90 gram dan dianggarkan bernilai RM30,930,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Jasmin berkata, suspek didapati tidak mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah dan bekerja sebagai penghantar barang.
Katanya, suspek kini ditahan reman selama tujuh hari untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
“Pihak polis sedang berusaha untuk mengenalpasti sama ada suspek mempunyai rangkaian melibatkan kegiatan pengedaran dadah,” katanya. -TVS