BINTULU, 24 Okt: Pihak bomba mengambil masa kira-kira lima minit untuk menyelamatkan sorang kanak-kanak lelaki berusia dua tahun yang terkunci di dalam kereta di tepi Jalan Bintulu-Tatau di sini, hari ini.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kes itu jam 10.52 pagi dengan menggerakkan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bintulu ke lokasi kejadian.
“Setibanya di lokasi kejadian didapati terdapat seorang kanak- kanak terkunci di dalam kereta Proton Saga.
“Ketika kejadian dia bersama-sama ibunya berusia 50 tahun sedang berhenti di bahu jalan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya, pihak bomba bertindak menggunakan peralatan khas untuk membuka pintu kereta tersebut sehingga berjaya mengeluarkan kanak-kanak tersebut.
“Selepas dikeluarkan kanak-kanak itu diserahkan kepada ibunya. Setelah memastikan keadaan selamat pihak bomba bertolak balik ke balai,” ujarnya.-TVS