KOTA KINABALU, 24 Okt: Taman-Taman Sabah mengeluarkan amaran keras kepada pendaki Gunung Kinabalu agar berwaspada berikutan cuaca buruk yang sedang melanda.
Menerusi akaun Facebook rasmi Taman-Taman Sabah, Pengurus Substesen Panalaban, Julaimin Kamin melaporkan hujan lebat dan angin kencang menyebabkan pokok tumbang di KM1.6 dan KM0.6, serta berlaku tanah runtuh di KM3.8 sepanjang laluan pendakian.
Beliau turut menyeru pendaki, malim gunung, porter dan kakitangan di laluan tersebut sentiasa berjaga-jaga semasa pendakian dan penurunan.
Pasukan Mencari dan Menyelamat (SAR) kini dalam keadaan bersedia untuk menghadapi sebarang insiden.
Cuaca buruk dijangka berterusan sepanjang minggu ini dan pendaki dinasihatkan supaya mematuhi arahan pihak berkuasa dan sentiasa mengikuti perkembangan cuaca terkini sebelum meneruskan pendakian.
Taman-Taman Sabah turut menasihatkan pendaki melengkapkan diri dengan peralatan keselamatan sesuai termasuk pakaian tahan cuaca dan kelengkapan kecemasan bagi memastikan keselamatan mereka ketika berdepan dengan keadaan cuaca tidak menentu.
Mengikut maklumat terkini dari laman web mountkinabalu.com, puncak Gunung Kinabalu ditutup kelmarin (Rabu) akibat cuaca buruk yang melibatkan hujan lebat dan angin kencang.
Adalah difahamkan penutupan itu adalah langkah keselamatan kerana keadaan laluan licin dan berbahaya kepada pendaki. -TVS