KUALA LUMPUR, 24 Okt: Syarikat penerbangan tambang murah Singapura, Scoot kini menghubungkan republik itu dengan 11 bandar di seluruh Malaysia, setelah mengumumkan penerbangan terus ke Melaka baru-baru ini.
Ketua Pegawai Komersial Scoot, Calvin Chan berkata pengembangan rangkaian ini akan menyokong pembangunan pelancongan dan ekonomi di kedua-dua negara.
“Dengan penambahan ke Melaka, kami kini berkhidmat di 11 bandar di Malaysia, meningkatkan ketersambungan antara kedua-dua negara serta rangkaian lebih luas bagi Kumpulan Singapore Airlines (SIA) bagi menyokong pembangunan pelancongan dan ekonomi.
“Kami akan terus menghubungkan masyarakat dan budaya, serta menyediakan pengalaman perjalanan yang lancar pada nilai yang hebat,” katanya menerusi kenyataan.
Terdahulu pada Rabu, seramai 112 penumpang tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Melaka dari Singapura menerusi penerbangan TR408 manakala 107 penumpang pula berlepas dari Melaka ke Singapura menerusi penerbangan TR409.
Scoot kini menawarkan penerbangan ke 72 destinasi merentasi 18 negara dan wilayah, merangkumi Asia Pasifik, Timur Tengah dan Eropah.
Bermula Oktober, Scoot akan mengendalikan 115 penerbangan mingguan ke bandar-bandar di Malaysia termasuk Ipoh, Kota Kinabalu, Kuantan, Kuching, Langkawi, Miri, Sibu, Penang dan Subang. -TVS