KUALA LUMPUR, 24 Okt: Dalam menghadapi cabaran inflasi dan ketidaktentuan global, kadar inflasi Malaysia terus menyederhana pada Ogos 2024 apabila mencatat 1.9 peratus dan kekal di bawah dua peratus sejak Julai 2023.
Meskipun kadar itu relatif stabil, ketegangan geopolitik global yang berterusan dan pertumbuhan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) yang dijangka bertambah baik pada tahun 2025 berpotensi memberi tekanan terhadap kadar inflasi negara.
Timbalan Menteri Ekonomi Dato Hanifah Hajar Taib menegaskan bahawa kerajaan bersedia untuk menghadapi cabaran itu dan akan terus melaksanakan pelbagai inisiatif bagi mengurangkan kesan inflasi terhadap kos sara hidup rakyat khususnya mereka yang terkesan.
“Usaha jangka pendek yang telah dikenal pasti merangkumi program bantuan tunai kerajaan seperti Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Sara Hidup (SARA) yang akan diteruskan dengan peruntukan lebih tinggi pada tahun 2025 serta inisiatif Payung Rahmah seperti Jualan Rahmah akan diperhebat dengan menawarkan barangan asas pada harga yang berpatutan.
“Selain itu, meningkatkan pendapatan rakyat secara keseluruhan melalui Sistem Saraan Perkhidmatan Awam bagi sektor awam serta Dasar Gaji Progresif dan peningkatan kadar gaji minima bagi pekerja sektor swasta,” katanya ketika menjawab soalan Ahli Parlimen Selayang William Leong Jee Keen pada sidang Dewan Rakyat hari ini.
Usaha lain menurut Hanifah adalah meningkatkan bekalan dan keterjaminan makanan tempatan serta meningkatkan pemantauan dan penguatkuasaan melalui Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) bagi memastikan harga yang berpatutan dan mengelakkan aktiviti pencatutan.
Beliau juga berkata kerajaan turut mengakui bahawa kestabilan inflasi memerlukan kerjasama erat dengan sektor swasta dan telah merangka beberapa inisiatif untuk memperkasa industri tempatan.
Antaranya, Khazanah Nasional akan menyediakan dana RM1 bilion di bawah National Fund-of-Funds untuk menyokong syarikat-syarikat mula niaga melalui modal teroka dan ekuiti persendirian dan dana tambahan sebanyak RM1 bilion juga disediakan di bawah Program Mid-Tier untuk membantu syarikat tempatan bersaing dalam sektor bernilai tinggi dan berdaya saing.
Ujarnya lagi, Malaysia akan terus mengamalkan dasar ekonomi terbuka dengan mengalu-alukan kerjasama dengan kebanyakan negara.
“Dalam berhadapan dengan isu ketegangan geopolitik yang boleh memberi impak kepada kadar inflasi, Malaysia akan terus membuat keputusan strategik yang memberi kelebihan kepada kepentingan nasional.
“Ini membolehkan negara menerima manfaat dari segi pelaburan dan perdagangan antarabangsa,” katanya. – TVS