Kuala Lumpur, 24 Okt: Kerajaan melalui Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) terus komited melaksanakan Program Pengedaran Barang Perlu, LPG dan Community Drumming sebagai langkah intervensi bagi mengatasi perbezaan harga barangan keperluan asas di kawasan pedalaman berbanding kawasan bandar terutamanya di Sabah dan Sarawak.
Menterinya, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, program yang lebih dikenali sebagai Program Penyeragaman Harga ini bertujuan memastikan penduduk di kawasan pedalaman menikmati harga barangan yang setara dengan harga di Semenanjung Malaysia.
“Untuk tahun 2024, kerajaan memperuntukkan RM225 juta bagi meneruskan program ini melibatkan kos pengangkutan bagi membawa tujuh barangan bersubsidi dan kawalan seperti beras, gula, tepung gandum, minyak masak, LPG, Petrol RON95 dan diesel dari pembekal ke kawasan pedalaman di enam negeri seperti Sabah, Sarawak, Kedah, Kelantan, Terengganu, dan Pahang,” katanya menerusi jawapan lisan yang dipaparkan di laman web rasmi Parlimen Malaysia.
Jelas beliau, langkah berkenaan bagi memastikan penduduk di kawasan pedalaman dapat membeli barangan tersebut pada harga yang sama seperti di bandar.
Pada masa sama ujarnya, usaha ini membuktikan komitmen kerajaan dalam memastikan kesejahteraan penduduk luar bandar dengan mengekalkan harga barangan keperluan pada paras yang berpatutan. – TVS