KUCHING, 23 Okt: Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg meluluskan peruntukan berjumlah RM13.722 juta kepada Lembaga Sumber Asli dan Alam Sekitar (NREB) bagi tujuan Kelab Pencinta Alam Sekitar (PALS).
Abang Johari berkata peruntukan untuk kegunaan bagi tempoh enam tahun itu, selari dengan hasrat NREB untuk menubuhkan kelab PALS di semua sekolah rendah dan menengah di seluruh Sarawak menjelang Tahun 2030.
“Pada tahun depan saya akan tambah RM1.5 Juta dan dia (Jack Liam) minta RM13 juta untuk tempoh enam tahun pun kita luluskan juga.
“Mudahan dengan bantuan ini kita dapat menubuhkan kelab alam sekitar di semua sekolah di Sarawak dan akhirnya kita dapat melahirkan anak muda yang dapat memberi pengaruh kepada masyarakat luar untuk menjaga alam sekitar supaya Sarawak dapat menjadi wilayah pintar dengan rakyatnya yang pintar, “kata Abang Johari ketika berucap pada Majlis Hari Alam Sekitar Negara peringkat Sarawak 2024 di sini, hari ini.
Terdahulu Pengawal Kualiti Alam Sekitar Lembaga Sumber Asli dan Alam Sekitar (NREB) Datu Jack Liam, berkata NREB bercadang untuk memperuntukkan sebanyak RM2,000 bagi setiap Kelab PALS setiap tahun.
Katanya usaha berkenaan juga dapat melahirkan rakyat Sarawak yang prihatin terhadap alam sekitar dan mewujudkan Sarawak yang hijau, bersih dan sihat.
“Kami juga mengalu-alukan sumbangan daripada badan-badan korporat bagi menyumbang dalam bentuk kewangan dan mengadopsi Kelab PALS di mana-mana sekolah dalam jangkamasa panjang bagi memastikan Kelab tersebut akan kekal aktif serta mencapai objektif mewujudkan generasi yang bertanggungjawab terhadap alam sekitar, “ujarnya lagi.