KUALA LUMPUR, 23 Okt: Kementerian Dalam Negeri (KDN) digesa untuk membekalkan mesin pencetak Kad Pengenalan kepada pejabat-pejabat Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) di Lawas bagi menangani isu kelewatan mengeluarkan Kad Pengenalan baru kepada pemohon yang layak.
Ahli Parlimen Lawas Datuk Henry Sum Agong berkata, keperluan itu adalah mendesak berikutan penduduk di kawasan Lawas terpaksa mengambil kad pengenalan baharu di pejabat JPN di Sabah.
“Pejabat JPN di Lawas tidak dapat mengeluarkan kad pengenalan baharu dan terpaksa dihantar ke Pejabat JPN lain di Sabah dan mengambil masa panjang serta terpaksa berulang-alik sebelum mendapatkan Kad Pengenalan baharu.
“Saya difahamkan perkara ini berlaku disebabkan tidak ada mesin pencetak untuk di Lawas,” katanya pada sesi perbahasan peringkat dasar Rang Undang-Undang Perbekalan 2025 di Dewan Rakyat hari ini.
Bagi mengatasi masalah ini, Henry memohon agar KDN segera membekalkan mesin pencetak Kad Pengenalan kepada Pejabat JPN Lawas bagi memudahkan penduduk mendapatkan dokumen pengenalan diri mereka dengan lebih cepat.
Dalam pembahasannya, Henry juga merakamkan ucapan terima kasih kepada Menteri KDN, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail atas kelulusan permohonan kewarganegaraan yang sekian lama dinanti oleh penduduk Lawas. – TVS