Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing

Penetapan waktu daftar masuk hotel di bawah kuasa kerajaan negeri

ByZhahrulniza

KUALA LUMPUR, 23 Okt: Isu mengenai penetapan waktu daftar masuk dan keluar bagi rumah tumpangan dan rumah pemalaman telah diletakkan di bawah bidang kuasa kerajaan negeri dan bukan dibawah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC).

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing berkata, kawalan terhadap rumah tumpangan dan rumah penginapan diselia oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di setiap negeri masing-masing.

“Akta Industri Pelancongan 1992 (Akta 482) memperuntukkan keperluan untuk pendaftaran premis penginapan pelancongan termasuk hotel. Walau bagaimanapun, kawal selia dan penguatkuasaan operasi hotel bukan di bawah bidang kuasa MOTAC,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan Ahli Parlimen Bukit Gantang, Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal mengenai sama ada kementerian mengambil serius dengan memantau lebih dekat isu penetapan waktu daftar masuk dan keluar oleh pengusaha hotel.

Ini susulan rungutan kebimbangan orang awam mengenai ketidakadilan hotel tempatan yang sewenang-wenangnya mengubah waktu daftar masuk dan keluar hotel.

Dalam pada itu, King Sing turut memaklumkan bahawa MOTAC telah mengadakan sesi libat urus bersama pengusaha-pengusaha hotel pada 17 Oktober 2024 bagi membincangkan isu daftar masuk dan keluar, yang antara lainnya berpunca daripada kekurangan tenaga kerja di bahagian pengemasan.

“Sesi perbincangan ini bertujuan untuk mengukuhkan operasi hotel, dan MOTAC akan mengadakan perbincangan lanjut dengan kerajaan negeri, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), serta PBT.

“Perbincangan ini akan menilai kewajaran memasukkan peruntukan berkaitan pemberian lesen dan kawal selia tatacara operasi hotel ke dalam Akta Industri Pelancongan,” jelasnya.

Selain itu, MOTAC juga akan mengadakan mesyuarat bersama Kementerian Sumber Manusia dan Kementerian Dalam Negeri untuk menyelesaikan isu kekurangan tenaga kerja, termasuk pengambilan pekerja asing dalam sektor perhotelan.

Jelasnya, langkah ini diambil bagi memastikan kualiti perkhidmatan di premis penginapan sentiasa berada pada tahap yang tinggi, terutama menjelang kempen Melawat Malaysia 2026.

Ahad lalu, King Sing menggesa pengusaha hotel menyelaras semula masa daftar masuk dan keluar bagi memastikan pengguna menerima waktu penginapan sekurang-kurangnya 23 jam sehari.

Beliau berkata penginapan 23 jam sehari merupakan perkara biasa di luar negara dan perkara itu tidak menjejaskan soal kebersihan atau kualiti penginapan, malah pengguna juga merasakan wang yang dibelanjakan berbaloi dengan perkhidmatan diterima. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse programmes on channel 122 MYTV, Unifi TV and Astro. Stream TVS live now on the MYTV Mana-Mana, Unifi TV and ASTRO GO apps.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan