KUCHING, 23 Okt: Pencapaian Sarawak diakui melepasi sasaran campuran kapasiti tenaga boleh baharu (TBB) 2024 dengan kadar 62 peratus memberi bayangan bahawa wilayah ini ke arah pertumbuhan ekonomi negeri yang positif.
Pensyarah Kanan (Pengurusan) Fakulti Ekonomi dan Perniagaan Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), Dr Aila Abd Latif berpendapat ini kerana kemajuan dalam sektor tenaga itu dilihat mampu membuka ruang bagi Sarawak untuk mewujudkan satu bidang pekerjaan baharu, khususnya dalam sektor tenaga boleh diperbaharui.
“Perkembangan ekonomi positif saling berkait rapat apabila kita mula fokus kepada tenaga diperbaharui ini dari segi teknologinya. Kita sebenarnya mencipta sektor pekerjaan yang baharu ataupun lapangan kepakaran yang baharu khususnya dalam bidang inovasi teknologi hijau, pembangunan infrastruktur mahupun dari segi pemeliharaan sistem tenaga boleh diperbaharui itu sendiri,” katanya ketika dihubungi TVS pada Selasa.
Tambah Dr Aila, pencapaian tersebut turut menjadi cerminan kepada komitmen Kerajaan Sarawak giat menuju ke arah negeri yang bersih dan mampan.
Terdahulu, pada Minggu Antarabangsa Singapura (SIEW) 2024 pada baru-baru ini, Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg mendedahkan bahawa Sarawak telah melepasi sasaran mencapai sekurang-kurangnya 60 peratus campuran kapasiti TBB, seperti yang digariskan dalam Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030.
Abang Johari berkata, pencapaian itu menunjukkan Sarawak berada di landasan yang tepat dalam mencapai kapasiti elektrik 10 gigawat (GW) menjelang 2030 dan mensasarkan untuk meningkat kepada 15 GW menjelang 2035. – TVS