SIBU, 22 Okt: Seorang pekerja swasta kerugian RM 202,000 selepas terpedaya dengan skim pelaburan saham tidak wujud yang disertainya sejak Ogos lepas.
Ketua Polis Daerah Sibu, Asisten Komisoiner Zulkipli Suhaili berkata, lelaki berusia 50-an itu tertarik dengan tawaran skim menerusi satu pesanan di aplikasi WhatsApp daripada seorang wakil syarikat pelaburan dari Syarikat Boci International Investment Club pada 9 Ogos 2024.
“Kemudian mangsa telah dimasukkan kedalam satu kumpulan diaplikasi whatsapp yang membincangkan mengenai pelaburan dan mangsa juga diminta untuk memuat turun satu aplikasi yang dijadikan platform untuk pelaburan tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnnya, bermula dari 26 September hingga 11 Oktober lepas mangsa telah membuat pemindahan wang sebanyak 13 kali transaksi secara keseluruhan berjumlah RM202,000 ke dalam tiga akaun tempatan.
“Pada 21 Oktober 2024 mangsa telah menghubungi semula suspek untuk bertanyakan mengenai pengeluaran keuntungan yang sudah diperolehi namun suspek memberikan pelbagai alasan.
“Mangsa yang berasa curiga dan berasa ditipu hadir ke balai berdekatan untuk membuat laporan bagi siasatan lanjut pihak polis,” ujarnya.
Katanya, pihak polis telah membuka satu kertas siasatan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.- TVS