KUALA LUMPUR, 22 Okt: Ahli Parlimen Sri Aman, Datuk Seri Doris Sophia Brodie menggesa Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk memberikan perhatian serius terhadap keadaan klinik-klinik kesihatan di kawasannya, yang digambarkan sebagai “hidup segan, mati tak mahu.”
Menurut beliau, terdapat enam buah klinik kesihatan di Sri Aman, iaitu Klinik Kesihatan Balai Ringin, Klinik Kesihatan Mentu, Klinik Kesihatan Pantu, Klinik Kesihatan Batu Lintang, Klinik Kesihatan Tanjung Bijat, dan Klinik Kesihatan Pekan Simanggang perlu diberi perhatian.
“Keadaan kebanyakan klinik ini adalah sangat daif, dengan Klinik Kesihatan Pekan Semanggang dikatakan dalam keadaan terlampau daif dan tidak selamat malah hanya menunggu masa untuk roboh,” katanya semasa menyampaikan perbahasan Belanjawan 2025 di Dewan Rakyat di sini hari ini.
Pada masa sama, beliau turut mempersoalkan sama ada peruntukan kementerian akan digunakan untuk menaik taraf klinik-klinik kesihatan yang daif di Sarawak, khususnya di kawasan Sri Aman.
Dalam ucapan pembahasannya, beliau turut menuntut kepastian mengenai tarikh pelaksanaan pembinaan klinik baharu bagi menggantikan Klinik Kesihatan Pekan Simanggang yang tidak lagi sesuai diguna memandangkan penduduk di kawasan tersebut semakin bertambah pesat. – TVS