PUTRAJAYA, 22 Okt: Malaysia komited untuk membina kepercayaan strategik dalam kalangan negara anggota menerusi dialog berterusan dan saluran diplomasi apabila mengambil peranan sebagai Pengerusi ASEAN pada 2025.
Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata Malaysia juga akan berusaha untuk melanjutkan perkongsian ekonomi kepada negara di luar sempadannya.
Menurutnya, Malaysia juga akan terus mendorong komitmen untuk meningkatkan intra-perdagangan dan pelaburan ASEAN, sambil memastikan pakatan berkenaan dapat memanfaatkan kemajuan dalam sains, teknologi dan inovasi, serta memanfaatkan transformasi digital dan teknologi baharu.
“Malaysia akan memastikan bahawa elemen keterangkuman dan kemampanan yang merupakan tema untuk 2025, menjadi tumpuan utama dalam usaha pembinaan komuniti serantau.
“Ini akan memerlukan usaha yang lebih besar untuk mengecilkan jurang pembangunan, meningkatkan taraf hidup sambil mengurangkan kesan perubahan iklim.
“Kita akan memastikan bahawa nilai-nilai dalam Malaysia MADANI dimajukan dan dimasukkan dalam semua spektrum kerjasama ASEAN semasa kepengerusian,” katanya.
Beliau berkata demikian pada pelancaran logo dan tema inspirasi Bunga Raya “Keterangkuman dan Kelestarian bagi Pengerusi ASEAN-Malaysia 2025, yang diadakan di Wisma Putra, di sini, hari ini.
Yang turut hadir Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz dan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing.
Mengulas lanjut, Mohamad berkata, pendekatan ASEAN yang bernuansa dan pragmatik untuk menguruskan persaingan geopolitik antara kuasa besar mampu dijadikan model bagi dunia membangun.
“Komitmen ASEAN terhadap berkecuali, dialog dan kerjasama serantau, telah memastikan Asia Tenggara stabil di tengah-tengah persaingan luar.
“Sebagai contoh, perdagangan ASEAN dengan China mencatatkan 696.7 bilion dolar Amerika Syarikat (AS) pada 2023, mencerminkan kedudukan negara berkenaan sebagai rakan dagangan terbesar ASEAN sejak 2009.
“Pada masa yang sama, perdagangan dengan Amerika Syarikat berjumlah 395.9 bilion dolar AS,” ujarnya.
Mohamad menambah, keseimbangan diplomatik sedemikian juga telah membawa kepada pertumbuhan kukuh dalam pelaburan langsung asing untuk ASEAN.
“Tahun lepas, ASEAN berjaya menarik sejumlah 229.8 bilion dolar AS bagi pelaburan langsung asing (FDI) dengan China dan Amerika Syarikat sebagai penyumbang utama.
“Kemasukan pelaburan ini adalah penting dalam memacu penciptaan pekerjaan, pemindahan teknologi dan pembangunan infrastruktur di seluruh rantau ini,” jelasnya.
Pada 11 Oktober, Laos secara rasmi menyerahkan jawatan Pengerusi ASEAN kepada Malaysia semasa Sidang Kemuncak ASEAN ke-44 dan ke-45 di Vientiane.
Untuk rekod, Malaysia menjadi pengerusi sebanyak empat kali sebelum ini iaitu pada 1977, 1997, 2005, dan 2015. – TVS.