KUALA LUMPUR, 22 Okt: Sebanyak 1,915,110 Baucar Buku MADANI berjumlah RM157 juta yang dilancarkan pada 30 Mei lepas pada Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2024 berjaya ditebus sehingga semalam (21 Okt).
Timbalan Menteri Pendidikan Wong Kah Woh berkata Kementerian Pendidikan (KPM) menyasarkan penebusan dan transaksi pembelian penuh melibatkan jumlah murid dan pelajar ini boleh dilakukan sehingga 31 Disember tahun ini yang menjangkakan penglibatan 3.5 juta murid serta pelajar lepasan menengah dengan peruntukan sebanyak RM290 juta.
“Daripada jumlah tersebut, seramai 661,487 ialah murid tahap dua sekolah rendah manakala seramai 1,191,817 merupakan pelajar sekolah menengah dan bagi Kolej Vokasional, Pra-Universiti, Kolej Matrikulasi dan Institut Pendidikan Guru (IPG) pula berjumlah 61,806 pelajar. Daripada penebusan ini, ia telah pun menghasilkan nilai pembelian keseluruhan sebanyak RM120.5 juta melibatkan 3.9 juta naskhah buku.
“Untuk memastikan pelaksanaan pemberian Baucar Buku MADANI ini dapat diselesaikan pada akhir tahun ini, KPM telah mengadakan sesi libat urus berkaitan penebusan baucar buku kepada semua Jabatan Pendidikan Negeri (JPN), Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) serta Guru Perpustakaan dan Media dari seluruh negara bagi membantu murid membuat penebusan baucar ini,” katanya pada Sidang Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab persoalan dibangkitkan Ahli Parlimen Ipoh Timor Lee Chuan How mengenai status terkini pemberian baucar buku itu.
Tambah Kah Woh, data penebusan setiap negeri, daerah dan sekolah sentiasa dipantau dari semasa ke semasa bagi memastikan penebusan berjalan lancar dan dioptimumkan.
Menurutnya, program Baucar Buku MADANI bukan sahaja menyokong perkembangan literasi dalam kalangan murid Malaysia malah berupaya meningkatkan akses kepada sumber pendidikan yang berkualiti, minat membaca dan pembelajaran sepanjang hayat bagi murid pelbagai peringkat pendidikan di negara ini.
Untuk rekod, murid sekolah rendah (Tahun 4 dan ke atas) menerima baucar sebanyak RM50 manakala murid sekolah menengah dan pelajar lepasan menengah seperti kolej tingkatan enam, kolej vokasional dan kolej matrikulasi serta pelajar Institut Pendidikan Guru (IPG) menerima baucar sebanyak RM100. – TVS