SUBANG JAYA, 21 Okt: Batik Air akan melancarkan tiga laluan baharu dari Kuala Lumpur (KL) ke Sabah dan Sarawak bagi memperluaskan jaringan perkhidmatannya ke kedua – dua wilayah berkenaan.
Ketua pegawai eksekutifnya, Datuk Chandran Rama Muthy berkata penerbangan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ke Bintulu akan bermula 1 November depan.
Laluan KL – Sandakan pula jelasnya dijadual bermula pada 1 Disember 2024 dan seterusnya ke Miri pada 14 Januari 2025.
“Laluan-laluan ini akan beroperasi dengan kekerapan berbeza, menawarkan pilihan perjalanan yang fleksibel iaitu sepuluh kali seminggu bagi laluan KL –Bintulu dan masing – masing 14 kali seminggu bagi laluan KL –Sandakan dan KL – Miri.
“Pengembangan ini menonjolkan dedikasi Batik Air dalam menyokong pertumbuhan pelancongan dan ekonomi Malaysia Timur,” katanya menerusi kenyataan media hari ini.
Tambah Chandran Rama Muthuy, mereka berbangga kerana dapat menawarkan lebih banyak pilihan kepada para pengembara dan perniagaan.
“(Syarikat juga) meneruskan misi kami untuk memperluaskan jaringan laluan dalam menyokong pertumbuhan Malaysia secara keseluruhan,” katanya.
Sementara itu Batik Air hari ini turut melancarkan laluan baharu menerusi penerbangan sulung dari Kota Bharu ke Subang.
Penerbangan itu dari Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, Kota Bharu itu mendarat di Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang, pada pukul 5.20 petang tadi.
Ketibaan penumpang disambut oleh Ketua Pegawai Eksekutif Tourism Selangor, Azrul Shah Mohamad dan kakitangan Batik Air. -TVS.