PUTRAJAYA, 21 Okt: Malaysia dijangka mencatatkan peningkatan sebanyak 5.3 peratus bagi Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) untuk suku tahun ketiga 2024, berbanding 3.8 peratus tahun sebelumnya.
Menurut Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin, sektor perdagangan Malaysia menunjukkan pertumbuhan yang komprehensif dengan kadar pertumbuhan eksport dan import masing-masing 7.8 dan 20.8 peratus.
“Berdasarkan indikator terkini yang diterbitkan oleh DOSM, nilai jualan perdagangan borong dan runcit meningkat 6.7 peratus pada Julai dan menurun kepada 4.7 peratus pada Ogos 2024.
“Indeks Pengeluaran Perindustrian masing-masing berkembang 5.3 peratus dan 4.1 peratus pada Julai dan Ogos 2024. Bagi sektor luaran, perdagangan Malaysia menunjukkan daya tahan dengan pertumbuhan 7.8 peratus bagi eksport dan 20.8 peratus bagi import pada suku tahun ini, ” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan Jabatan Perangkaan Malaysia hari ini.
Dalam pada itu katanya, pasaran buruh yang stabil, tekanan inflasi yang sederhana serta pemulihan berterusan dalam aktiviti pelancongan dijangka membantu dalam perkembangan ekonomi domestik.
Selain itu, kadar positif dalam perbelanjaan pengguna dan peningkatan pelaburan dijangka dapat merangsang pertumbuhan ekonomi pada suku tahun ini.
Mengulas lanjut, beliau berkata, prestasi ekonomi pada suku tahun ini turut dirancakkan lagi dengan pertumbuhan yang dicatatkan dalam beberapa sektor ekonomi.
“Sektor perkhidmatan yang meningkat sebanyak 5.1 peratus (ST2 2024: 5.9 peratus). Selain itu, sektor pembuatan mencatatkan peningkatan yang lebih baik kepada 5.7 peratus berbanding 4.7 peratus pada suku tahun sebelumnya.
“Sektor pembinaan terus melonjak dengan pertumbuhan 19.5 peratus, meningkat daripada 17.3 peratus berikutan prestasi kukuh,” ujarnya.
Susulan daripada anggaran awalan ini, KDNK preliminari menyediakan set data analisis terperinci dan komprehensif bagi suku tahun ketiga 2024.
Sementara itu, sektor perlombongan mencatatkan penurunan sebanyak 3.5 peratus manakala sektor pertanian meningkat dengan lebih perlahan pada suku tahun ini pada 4.0 peratus.
“Pertumbuhan sederhana dalam subsektor kelapa sawit menjadi penyumbang kepada peningkatan dalam sektor pertanian dengan 4.0 peratus berbanding 7.2 peratus pada suku tahun kedua 2024.
“Sektor perlombongan dan pengkuarian menyusut 3.4 peratus berbanding pertumbuhan 2.7 peratus pada suku tahun sebelumnya, ” katanya lagi.-TVS