Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Kehadiran Kapal Pengawal Pantai China tidak ancam keselamatan negara. Foto tangkap layar Parlimen Malaysia

Kehadiran kapal Pengawal Pantai China tidak ancam keselamatan negara

ByMuqri Aziz

KUALA LUMPUR, 21 Okt: Kehadiran Kapal Pengawal Pantai China (CSG) di perairan Laut China Selatan telah menimbulkan pelbagai reaksi dalam kalangan rakyat, namun Kementerian Pertahanan (MINDEF) memberi jaminan bahawa keselamatan perairan Malaysia kekal terjamin dan berada dalam kawalan.

Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari, menegaskan bahawa aset ketenteraan negara sentiasa dalam keadaan siap siaga untuk menghadapi sebarang ancaman di kawasan perairan negara.

“Kehadiran aset-aset maritim China di Laut Cina Selatan adalah lebih kepada pasukan pengawal pantai China dan bukannya kapal perang tentera laut China dan perkara ini adalah selaras dengan pendekatan Grey Zone Strategy dengan izin yang sedang dilaksanakan oleh China di Laut Cina Selatan.

“Walaupun kehadiran kapal China di perairan negara mencetuskan polemik, namun sehingga hari ini mereka tidak melakukan sebarang tindakan agresif seperti yang berlaku kepada negara lain seperti yang berlaku kepada Filipina dan juga Vietnam,” katanya pada Sidang Dewan Rakyat hari ini.

Ahli Parlimen Jelebu Datuk Seri Jalaluddin Alias membangkitkan isu berkenaan kepada Kementerian Pertahanan yang mahu menyatakan sejauh manakah keselamatan perairan Malaysia di Laut China Selatan terjamin susulan pencerobohan kapal frigat tentera China dan Pengawal Pantai China di Zon Ekonomi Eksklusif (EEZ) di Wilayah Maritim Sarawak.

Tambah Adly, MINDEF kekal komited dalam melaksanakan amanah dan tanggungjawab yang diberi untuk mempertahankan kedaulatan negara dan memastikan kesiapsiagaan aset berada pada tahap yang optimum dalam menghadapi sebarang bentuk ancaman keselamatan negara serta di perairan maritim negara terutamanya di Laut Cina Selatan.

Beliau juga menyatakan tiga teras utama yang menjadi keutamaan MINDEF dalam menangani ancaman ini, iaitu kesiapsiagaan dan pemodenan aset, operasi ketenteraan berterusan, serta diplomasi pertahanan.

Proses pemodenan aset ketenteraan dianggap penting untuk menghadapi cabaran di Laut China Selatan, manakala operasi ketenteraan ditingkatkan dari masa ke semasa sebagai tanda kehadiran (show of presence) di kawasan yang berpotensi terjejas.

“Malaysia akan terus memperkukuhkan kerjasama ASEAN dan juga ASEAN Defence Minister Meeting (ADMM) Plus supaya kita tahu bahawa isu di Laut China Selatan itu bukan sahaja yang terkait dengan Malaysia, Filipina dan Indonesia dan seumpamanya tetapi keseluruhan daripada negara-negara ASEAN itu juga terkait dengan Laut China Selatan.

“Sebab itu, kita menggunakan juga platform ASEAN kita menjelang tahun depan selaku Pengerusi ASEAN,” katanya yang menjawab soalan tambahan daripada Jalaluddin Alias.

Beliau juga menjelaskan bahawa perjanjian antarabangsa seperti United Nations Convention on the Law of the Sea (UNCLOS) akan terus menjadi panduan untuk memastikan keselamatan nelayan dan perdagangan maritim di perairan tersebut.

Keselamatan di Laut China Selatan kekal sebagai keutamaan Malaysia, terutama dalam mengekalkan kestabilan rantau ini serta memastikan aktiviti ekonomi dan keselamatan maritim berjalan lancar. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse programmes on channel 122 MYTV, Unifi TV and Astro. Stream TVS live now on the MYTV Mana-Mana, Unifi TV and ASTRO GO apps.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan