JAKARTA, 20 Okt: Sebuah pesawat kecil milik syarikat SAM Air bernombor pendaftaran PK-SMH terhempas berhampiran Lapangan Terbang Panua, Pohuwato, Gorontalo.
Berdasarkan laporan pasukan mencari dan menyelamat (SAR) wilayah Gorontalo, pesawat itu dalam perjalanan dari Lapangan Terbang Djalaluddin, Gorontalo ke Lapangan Terbang Panua, Pohuwato yang secara tiba-tiba terhempas.
Menurut Ketua SAR Gorontalo Heriyanto, selepas menerima maklumat mengenai kemalangan tersebut, lapan anggota dikerahkan ke lokasi kejadian dan mendapati juruterbang, pegawai, juruteknik dan seorang penumpang meninggal dunia di tempat kejadian.
“Semua penumpang ditemui mati di dalam pesawat walaupun agak sukar untuk memindahkan mangsa kerana berada dalam kolam lumpur namun pasukan kami berjaya mengalihkan kesemua mangsa,” katanya.
Beliau berkata, semua mangsa berjaya dipindahkan ke Pusat Kesihatan di wilayah itu dan diserahkan kepada syarikat penerbangan SAM Air dan pihak berkaitan.
Dengan pemindahan semua mangsa, operasi SAR ditamatkan dan pasukan penyelamat berpatah balik manakala punca nahas masih disiasat.-TVS