JAKARTA, 20 Okt: Prabowo Subianto dan Gibran Rakabuming Raka secara rasmi dilantik sebagai presiden serta naib presiden Indonesia yang baharu bagi penggal 2024-2029.
Kedua-duanya dilantik hari ini di Bangunan Majlis Permusyawaratan Rakyat (MPR) yang bermula jam 10.00 pagi tadi.
Di hadapan tetamu, Prabowo yang mengangkat sumpah sebagai presiden kelapan Indonesia menggantikan kepimpinan presiden ketujuh Joko Widodo yang turut hadir pada majlis tersebut.
“Demi Allah, saya bersumpah akan memenuhi kewajiban Presiden Republik Indonesia dengan sebaik-baiknya dan seadil-adilnya, dengan memegang teguh Undang-Undang Dasar dan menjalankan segala peraturannya dengan sebaik-baiknya, kemampuan dan berkhidmat untuk rakyat dan negara,” kata Prabowo ketika mengangkat sumpah
Dengan lafaz sumpah itu, Indonesia kini mempunyai kepimpinan baharu untuk lima tahun akan datang bagi melaksanakan amanah rakyat mulai hari ini.
Seramai 34 ketua negara dan wakil negara luar termasuk Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim turut hadir menyaksikan majlis angkat sumpah itu di sini.
Gandingan Prabowo Subianto dan Gibran Rakabuming Raka berjaya muncul sebagai pemenang dalam pilihan raya Indonesia 14 Februari lalu dengan memenangi 58 peratus undi majoriti. -TVS