LUNDU, 20 Okt: Seorang lelaki cedera dalam kemalangan membabitkan dua kenderaan di Kampung Serayan Jalan Sematan – Lundu di sini, malam tadi.
Komander Operasi, Pathi Samsudin berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kes itu jam 10.08 malam dengan menggerakkan enam anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lundu ke lokasi kejadian.
“Kemalangan melibatkan dua kenderaan iaitu Toyota Fortuner dan Perodua Kancil.
“Seorang mangsa lelaki berusia 59 tahun masih tersepit dalam kereta Perodua Kancil,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya, pihak bomba terus menjalankan operasi mengeluarkan mangsa menggunakan peralatan khas.
“Mangsa mengalami kecederaan di bahagian kepala dan diberi rawatan awal oleh anggota EMRS Bomba dan dihantar ke Hospital Lundu untuk rawatan selanjutnya,” ujarnya.- TVS