BAU, 19 OGOS: Seorang wanita maut manakala seorang lagi cedera parah dalam kemalangan membabitkan tiga buah kenderaan di Kampung Batu Sepit, Jalan Bidi Krokong, Bau.
Menurut Komander Operasi Bomba Sarawak, Rahmat Hassan, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila kenderaan pacuan empat roda yang bergerak ke arah Bau tiba-tiba terbabas dan memasuki laluan bertentangan lalu merempuh kereta yang dinaiki kedua-dua mangsa.
“Dalam kejadian pada pukul 6:50 petang itu, mangsa yang dipercayai penumpang disahkan meninggal dunia selepas diperiksa petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan seorang lagi mangsa (pemandu) mengalami kecederaan parah,” katanya.
Manakala, tiga lelaki iaitu pemandu dan penumpang kenderaan pacuan empat roda berkenaan pula dilaporkan turut mengalami kecederaan di beberapa anggota badan dan kemudian dikejarkan ke Hospital Bau untuk mendapatkan rawatan.
Ikuti TVS di Telegram, Facebook, Twitter, Instagram, TikTok dan YouTube