KUCHING, 19 Okt: Radius Operasi mencari dan menyelamat (SAR) lima orang pekayuh perahu regatta hilang selepas karam petang semalam diperluas sehingga 10 kilometer (km) dari lokasi kejadian.
Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Mancha Ata berkata, terdapat kemungkinan kesemua mangsa dihanyutkan hingga ke muara sungai Sarawak berdasarkan pergerakan arus sungai dengan fenomena air pasang semasa kejadian karam terbabit.
Justeru itu, kata Mancha, usaha pencarian kesemua mangsa itu dibahagikan kepada dua pasukan iaitu dari arah muara sungai Sarawak hingga ke hulu dan dari lokasi kejadian hingga ke muara sungai Sarawak.
“Sehingga masa pada masa ini usaha mencari dan menyelamatkan mangsa masih diteruskan dan belum menjumpai mana-mana mangsa.
“Ketika ini, SAR ini melibatkan 12 agensi penyelamat dengan kekuatan 127 anggota kesemuanya yang antara lain turut di sertai unit penyelam yang telah melakukan enam selaman setakat ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melakukan tinjauan di pusat Kawalan Operasi Bomba bagi SAR tragedi tersebut.
Dalam kejadian petang semalam lima mangsa dilaporkan hilang selepas perahu panjang yang digunakan mereka bersama 11 yang lain karam ketika melakukan latihan Regatta Sarawak.
Kejadian itu dipercayai berpunca daripada perahu berkenaan dimasuki air selepas bertembung dengan ombak yang terhasil daripada bot nelayan dari arah bertentangan.
Pencarian mangsa pada hari kedua yang bermula seawal jam 6 pagi tadi bangaimanapun sehingga kini masih gagal menemui mangsa-mangsa terlibat.-TVS