KUCHING, 19 Okt: Kerajaan Persekutuan dilihat komited dalam meningkatkan kualiti pendidikan negara dengan peningkatkan peruntukan kepada RM64.1 bilion dalam Belanjawan 2025 yang dibentangkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Jumaat.
Presiden Kesatuan Guru Sarawak (STU), Kullin Djayang berkata, ia juga merupakan usaha untuk memberikan imbangan pendidikan sama rata kepada setiap lapisan masyarakat di Malaysia.
Menurutnya, STU berterima kasih kepada kerajaan atas keprihatinan dan memberikan keutamaan dalam peruntukan menyelenggara 543 sekolah daif seluruh negara terutama di Sarawak serta Sabah selain membina 44 sekolah baharu bagi menampung bilangan pelajar yang semakin meningkat.
“Kita berharap semua peruntukan disalurkan dengan telus dan dipantau kerajaan agar tidak berlaku sebarang ketirisan hingga menyebabkan projek penyelenggaraan serta pembinaan sekolah terbengkalai atau dibina tanpa mengikut pelan asal.
“Tindakan yang tegas wajar dikenakan kepada syarikat yang tidak akur termasuk disenarai hitamkan. Ini bertujuan agar semua projek berjalan lancar mengelak sebarang rungutan terhadap projek kerajaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya, pada era sekarang tidak relevan masih ada lagi guru yang tinggal di kuarters usang dan tidak selamat.
“Begitu juga dengan keselesaan mengajar harus diutamakan untuk guru dan pelajar, agar hasil pengajaran dan pembelajaran akan lebih berkualiti.
“Peruntukan RM800 juta untuk bantuan awal persekolahan bagi pelajar tahun 1 hingga tingkatan 5 dan juga bantuan KWAPM telah ditingkatkan kepada RM180 juta.
“Ini adalah satu langkah amat kami hargai dan berharap dengan bantuan ini dapat mengurangkan kadar keciciran terutama pelajar daripada keluarga miskin serta ketiadaan ibu bapa,” ujarnya.
Menurutnya, selama ini kes keciciran pelajar menyukarkan guru untuk memberikan pendidikan terbaik kepada semua pelajar terutama di kawasan pedalaman.
“Maka dengan bantuan awal ini kita harap akan lebih menarik minat golongan ini untuk hadir ke sekolah serta dapat belajar dengan selesa,” jelasnya.
Kullin berkata, STU turut berterima kasih kepada kerajaan kerana meningkatkan kadar gaji penjawat awam dan pemberian bantuan khas kewangan sebanyak RM500.-TVS