KUALA LUMPUR, 18 Okt: Sarawak akan menerima peruntukan pembangunan RM5.9 bilion menerusi Belanjawan 2025 iaitu peningkatan RM0.1 bilion berbanding belanjawan tahun lepas.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata jurang pembangunan antara negeri perlu dirapatkan khususnya melibatkan prasarana asas seperti jalan raya, elektrik dan air bersih.
Manakala Sabah pula menerima peruntukan sebanyak RM6.7 bilion pada belanjawan tahun ini.
“Pemberian Khas Sarawak tidak pernah dikaji sejak 1969. Di bawah MADANI, tahun ini kita telah menaikkan kadar kepada RM300 juta ketimbang 16 juta (Sarawak) dan 125.6 juta (Sabah).
“Mulai 2025, Kerajaan bercadang menaikkan kadar Pemberian Khas Sarawak dan Sabah sekali ganda lagi kepada RM600 juta,” katanya ketika membentangkan Belanjawan 2025 di Dewan Rakyat, hari ini.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata Kerajaan MADANI menunaikan kesepakatan pemimpin terdahulu terkait Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Sehubungan itu, tidak harus dipertikai sebab Sabah Sarawak diberi perhatian khusus. – TVS