KUCHING, 18 Okt: Perdana Menteri Datuk Sri Anwar Ibrahim membuka pembentangan Belanjawan 2025 dengan memuji semangat Segulai Sejalai yang dipamerkan oleh masyarakat di Kapit, Sarawak.
Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata, perkara itu jelas kelihatan ketika lawatan kerjanya ke sana pada bulan lepas.
Kata Anwar, semangat Segulai Sejalai di Sarawak begitu menjalar hingga di peringkat akar umbi dan telah menyentuh hatinya.
“Kapit merupakan daerah yang terpencil dan miskin, namun saya terharu saat disapa oleh seorang ibu dari desa yang berlari ke arah saya untuk menghadiahkan sehelai vest yang diperbuat daripada manik hasil tenunnya sendiri.
“Begitu juga ketua masyarakat Iban yang menyerahkan pakaian tradisonal yang segak dan sungguh mengesankan bagi saya dan isteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membentangkan Rang Undang-Undang Perbekalan (Belanjawan) 2025 di Dewan Rakyat hari ini.
Belanjawan 2025 dengan tema “Membugar Ekonomi, Menjana Perubahan, Mensejahtera Rakyat” adalah belanjawan ketiga dibentangkan di bawah kerajaan MADANI pimpinan Anwar dan yang terakhir di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (2021-2025) sebelum beralih kepada Rancangan Malaysia Ke-13 untuk tempoh lima tahun akan datang.
Dalam pada itu tambah Anwar, ketika melawat Rumah Panjang Robert di Nanga Sebatu, beliau cukup terkesan dengan keadaan yang dialami oleh penduduk setempat susulan masalah hakisan air yang mungkin akan menjejaskan kediaman masyarakat di sana sejak sekialan lama.
“Maka saya luluskan segera RM2 juta bagi melaksanakan projek pengawalan hakisan sungai di hadapan Rumah Panjang Robert, Nanga Sebatu,” katanya. -TVS.