KUALA LUMPUR, 18 Okt: Pinjaman kasar Kerajaan Persekutuan pasca pandemik dijangka terus berkurang kepada 10 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada 2025 daripada 13.6 peratus pada 2021.
Kementerian Kewangan berkata jumlah keseluruhan pinjaman kasar pada 2024 dianggar berkurang kepada RM206 bilion atau 10.6 peratus KDNK (2023: RM226.6 bilion, 12.4 peratus KDNK).
Strategi pinjaman kerajaan akan terus mengutamakan sumber daripada pasaran domestik dengan memanfaatkan kecairan dalam pasaran modal bagi mengurangkan pendedahan kepada risiko tukaran asing.
Bagaimanapun, keperluan bagi pinjaman luar pesisir akan dinilai berdasarkan beberapa pertimbangan termasuk persekitaran pasaran kewangan global dan penerokaan struktur sukuk yang inovatif, kata kementerian itu dalam laporan Tinjauan Ekonomi 2025 yang dikeluarkan hari ini.
Ketika ini, inisiatif dan strategi yang dilaksanakan mula berhasil melalui trend penurunan pinjaman baharu dan pertumbuhan hutang seterusnya akan ditambah baik di bawah seliaan Jawatankuasa Risiko Fiskal, Hutang dan Liabiliti (JRFL).
Keseluruhan hutang Kerajaan Persekutuan berjumlah RM1.227.5 trilion atau 63.1 peratus daripada KDNK pada akhir Jun 2024.
Jumlah hutang terkumpul bagi setiap instrumen adalah tidak melebihi had statutori yang ditetapkan di bawah perundangan berkaitan hutang. Hutang terkumpul MGS, MGII dan Bil Perbendaharaan Islam Malaysia (MITB) mencatat 61.2 peratus daripada KDNK iaitu di bawah had statutori 65 peratus.
Bil Perbendaharaan Malaysia (MTB) dan pinjaman luar pesisir juga masih di bawah had RM10 bilion dan RM35 bilion dengan jumlah hutang sebanyak RM6 bilion dan RM29.3 bilion.
Sebahagian besar hutang Kerajaan Persekutuan adalah dalam denominasi ringgit yang merangkumi 97.6 peratus daripada jumlah hutang manakala baki 2.4 peratus dalam mata wang asing.
Kementerian Kewangan berkata, bayaran khidmat hutang (DSC) Kerajaan Persekutuan pada 2024 dianggarkan sebanyak RM50.8 bilion atau 15.8 peratus daripada hasil (2023:RM46.3 bilion; 14.7 peratus).
Peruntukan DSC yang lebih besar disebabkan oleh defisit belanjawan yang berterusan walaupun dengan trend penurunan.
Perbelanjaan DSC diperuntukkan terutamanya bagi bayaran faedah dan keuntungan instrumen domestik sebanyak RM50 bilion manakala RM0.8 bilion untuk pinjaman luar pesisir.
Kos pinjaman purata berwajaran bagi keseluruhan hutang dalam negeri pada akhir Jun 2024 adalah pada kadar 4.119 peratus (akhir 2023: 4.124 peratus), katanya.
Selain itu, ciri sekuriti hutang Kerajaan berkadar faedah tetap mengurangkan pendedahan kepada risiko turun naik kadar faedah sepanjang tempoh matang.
Menurutnya, strategi pinjaman antaranya bermatlamat untuk mengurus risiko pembiayaan semula secara berkesan dengan mengekalkan profil kematangan yang seimbang.
Pada akhir Jun 2024, komposisi hutang terkumpul dengan baki tempoh matang lebih lima tahun telah meningkat kepada 61.7 peratus (akhir 2023: 58.3 peratus).
Sementara itu, komposisi sekuriti dengan baki tempoh matang lima tahun dan ke bawah berkurang kepada 38.3 peratus (akhir 2023: 41.7 peratus).
Sehubungan itu, tempoh matang purata berwajaran bagi sekuriti hutang terkumpul dianggarkan meningkat kepada 9.3 tahun pada akhir 2024 (2023: 9 tahun), kata kementerian itu. – TVS